Selera & Santai 14 Oct, 2024

Dah jamu selera di warung Cendol Pak Samat? Segera ke Kuala Kubu Bharu! Ada aneka cendol, aneka rojak!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Warung Cendol Pak Samat di Kuala Kubu Bharu, Selangor sentiasa menjadi tumpuan pelanggan jauh dan dekat.


CENDOL dan rojak kombinasi paling serasi, menu digemari ramai. Seringkali apabila menikmati rojak di warung, minuman iringan yang diminta ialah cendol.

Mungkin anda biasa menikmati cendol dan rojak. Tetapi sudahkah cuba minum cendol dan makan rojak di warung Cendol Pak Samat, Kuala Kubu Bharu, Selangor? Penulis sendiri sudah berpeluang menikmatinya.

Kepada yang sudah pernah sampai, tentu setuju rojak dan cendol di warung Pak Samat memang enak, begitu menyelerakan. Kerana itu tidak hairan warung menjadi tumpuan ramai pengunjung, terutama pada hari minggu atau hari cuti.

Pada hari-hari begini kedatangan pengunjung lebih ramai berbanding hari biasa. Barisan pelanggan memesan makanan agak panjang. Tempat duduk di bahagian dalam dan luar warung sentiasa penuh. Perlu diingat, memesan makanan atau minuman dilakukan sendiri secara berbaris, bayar dan bawa pergi.


Sudut cendol di mana pengunjung boleh memesan aneka cendol, bukan sekadar cendol biasa.


Tidak susah mencari warung Cendol Pak Samat kerana ia terletak di jalan besar Kuala Kubu Bharu. Kedudukannya bersebelahan Masjid Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu. 

Warung dibuka dari pukul 11 pagi hingga 6 petang setiap hari, kecuali Rabu cuti. 

Warung yang mula beroperasi pada 2015 ini adalah sempena nama pengasasnya, Samad Mat Jim. Bermula sebagai warung cendol biasa, ia berkembang hingga terkenal di dalam dan luar Kuala Kubu Bharu.

Selain penduduk tempatan dan kawasan sekitar, ramai penduduk luar datang dari jauh ke warung ini khusus untuk menikmati keenakan rojak dan cendol. 

Tidak kurang juga bas pelancong menjadikan warung ini sebagai destinasi persinggahan, membawa puluhan pelancong.


Sebahagian pengunjung menikmati makanan dan minuman di warung Cendol Pak Samat, Kuala Kubu Bharu. 


Sesuai dengan namanya sebagai warung cendol, pelbagai jenis menu cendol disediakan. Selain cendol biasa, pengunjung boleh membuat pilihan antaranya menikmati cendol pulut, cendol ais krim, cendol durian dan cendol pisang. Air batu campur (ABC) pun ada, di samping minuman panas.

Bagi rojak pula, menu aneka rojak disediakan. Selain rojak biasa ada rojak mi, rojak ayam, rojak daging dan rojak kambing.

Menu di warung Cendol Pak Samat tidak terhad kepada cendol dan rojak sahaja. 

Terdapat makanan lain seperti nasi ayam dan nasi penyet. Nasi putih juga ada, diiringi sama ada lauk ayam goreng kunyit, ayam goreng berempah atau bawal goreng.


Kombinasi cendol dan nasi ayam antara menu pilihan di warung Cendol Pak Samat.


ROJAK enak menanti kedatangan anda ke warung Cendol Pak Samat.


Peminat mi, kuetiau atau bihun jangan susah hati. Tiga makanan ini sedia menanti, iaitu mi, kuetiau dan bihun kari. Bagi penggemar bubur, disediakan juga bubur biasa dan berlauk. Pendek kata, semua menu kegemaran ramai dengan pelbagai cita rasa terdapat di warung Cendol Pak Samat.

Untuk merasai sendiri keenakan makanan di warung Cendol Pak Samat, anda perlu datang sendiri menikmatinya.

Usah risau mengenai parkir kerana tempat letak kereta luas disediakan di kawasan warung berkenaan.

Kepada yang berhajat datang, elok sampai awal bagi mengelak kesesakan. Orang masih belum ramai dan senang membuat pesanan makanan serta minuman. Tempat duduk juga masih lapang. 

Jika lambat, sabarlah berbaris membuat pesanan. Juga pandai-pandailah menyelit diri mencari kerusi meja kosong. - KitaReporters


Rojak dan cendol sudah selesai dinikmati. Masa untuk bersantai sambil berbual.

11
11
0
8
0
You will be interested