Seni & Sukan 11 Feb, 2023

Video| Kumpulan nasyid Al-Jawaher terokai pasaran global! Rakam lagu Inggeris Bring Me Close To You!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

Ali Rustam merasmikan pelancaran single 'Bring Me Close To You' sambil disaksikan oleh Mohd Hasbi dan kumpulan Al-Jawaher.


Tidak mahu terus dikenali di Singapura dan Malaysia sahaja, kumpulan nasyid otai, Al-Jawaher mahu terokai pasaran antarabangsa apatah lagi sudah lebih 4 dekad berada dalam industri seni hiburan.

Bersandarkan objektif itu, Al-Jawaher memulakan langkah pertama mereka dengan melancarkan single berjudul ‘Bring Me Close To You’ yang jika ditafsirkan secara ironinya ia boleh membawa maksud mereka mahu menghampiri pendengar global.

“Ia sebenarnya sebuah lagu bagi mengingatkan kita agar sentiasa mendekati Allah SWT dan sentiasa menghampiri-Nya. Apa pun lagu ini adalah percubaan Al-Jawaher untuk meneroka dan menembusi pasaran muzik antarabangsa,” ujar Norhaiyati Yusof selaku penyelaras kumpulan Al-Jawaher ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu ‘Bring Me Close To You’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan nasyid



Majlis pe;ancaran itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tun Mohd Ali Rustam di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir antaranya Presiden Jamiyah Singapura, Prof Adjunct Datuk Dr Mohd Hasbi; Naib Presiden DMDI, Datuk Mohd Jamil Mukmin serta tetamu undangan, penyanyi Dato Nora Ariffin.

‘Bring Me Close To You’, yang digubah oleh Yazri Malik merupakan initiatif secara tidak langsung dari Jamiyah Singapura bagi menyebarkan dakwah dan nasihat melalui seni muzik dengan kerjasama Impact Music & Entertainment.

“Inilah kali pertama Al-Jawaher membawa lagu Inggeris dan Arab, harap-harap para pendengar terhibur dengan lagu-lagu kerohanian kami yang penuh bermakna ini,” tambah Norhaiyati sambil memaklumkan ‘Bring Me Close To You’ boleh didengar di semua pelantar penstriman digital mulai 17 Februari 2023 ini jam 12 tengah malam manakala video muzik nya juga boleh ditonton dalam saluran YouTube Impact Music pada hari yang sama. 




Lebih menarik, penggambaran muzik video arahan Suhaimi Yusof dirakam sekitar Melaka sekali gus memperkenal bandar bersejarah itu kepada pelancong luar negara waima kepada rakyat Singapura terdekat sekali pun.

Menurut Norhaiyati selanjutnya, harapan mereka lagu berkenaan dapat mengubah persepsi masyarakat antarabangsa tentang Islam. 



“Kerana itu juga kami mengambil kesempatan melancarkannya sempena tarikh Israk Mikraj,” tambah Norhaiyati (gambar atas) yang merupakan anggota asal kumpulan Al-Jawaher selain enam lagi ahlinya iaitu dua orang adik kepada sifu M. Nasir, Siti Hajar dan Normala Mohamad; Ibu kepada penyanyi Didicazli, Siti Rusminah Jaafar; Habibah Osman; Jumilah; dan Latifah.

Untuk rekod, Al-Jawaher yang ditubuhkan pada tahun 1979 dianggotai tujuh wanita yang sama-sama belajar mengaji dan berzanji di Singapura dengan sepasang suami isteri, Ustaz Md Karim dan Ustazah Hamidah Shukor, bekas naib johan qariah peringkat kebangsaan. 

Antara lagu-lagu popular mereka yang masih malar segar meliputi judul seperti ‘Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda’, ‘Kembara Di Tanah Gersang’, ‘Selawat dan Salam’, serta banyak lagi. 

Dah ingat sekarang kan, bila disebut lagu-lagu mereka?

Malah kumpulan ini pernah diundang membuat persembahan di pentas akhir Gegar Vaganza 2018. - KitaReporters


Raya dah nak dekat bolehlah dengar kembali lagu 'Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda' nyanyian Al-Jawaher ini.

10
18
0
8
0
You will be interested