KEPRIHATINAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sudi mencemar duli bertemu dengan dua mangsa kejadian kemalangan di Cyberjaya dan Putrajaya sekali lagi menjadi testimoni baginda adalah seorang yang mesra dan berjiwa rakyat.
Nahas di Cyberjaya.
Perkara itu jelas terbukti apabila Al-Sultan Abdullah sanggup berhenti di lebuh raya dan melangkah pembahagi jalan besi untuk bertemu dengan pemandu dan melihat sendiri insiden yang berlaku itu.
Menerusi laman Instagram @istana_negara, memaklumkan dalam perjalanan pulang daripada Mesyuarat Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di Putrajaya, Al-Sultan Abdullah turun kenderaan rasmi sebanyak dua kali untuk bertemu dan bertanyakan khabar dengan pemandu-pemandu yang terbabit dengan kemalangan.
Video dipaparkan itu menerima lebih 30,000 sukaan (love) dan lebih 1,000 komen daripada netizen yang rata-rata memuji keprihatianan Al-Sultan Abdullah mencemar duli bertemu rakyat yang ditimpa kesusahan.
Kemalangan pertama berlaku di Cyberjaya, manakala kedua pula di Plaza Tol Maju Expressway (MEX) di Putrajaya.
Nahas di Putrajaya.
Dalam pada itu, Seri Paduka turut menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika hujan lebat bagi mengelakkan kemalangan.
Seorang wanita berasal dari Pahang atie_malik memberi komen, "hilang panik sebab Tuanku berhenti bertanya keadaan mangsa. Ceriakan sedikit keadaan agaknya apabila mangsa sempat minta izin bergambar. Alhamdulillah dengan Seri Paduka Baginda terkini yang memang sangat prihatin."
Bagi @Nursuaidah yang turut berkongsi kesedihan dengan mangsa menulis, "dari kemalangan pastu sedih, marah dan apa jua rasa, tiba-tiba jadi tersenyum sebab Yang Di Pertuan Agong ada."
Tidak kurang juga ada netizen yang menitipkan doa buat Al-Sultan Abdullah yang ditulis seorang lelaki @Mohamadnazrin666, "lindungilah Raja kami ya Allah."
@Shahrulbaha yang memberi komen, turut mengirimkan doa buat Baginda, "Mulianya Al-Sultan Abdullah sampai rakyat kesusahan tengok muka Sultan pun tersenyum gembira .. Semoga Allah merahmati Tuanku dan Raja Melayu yang baik dan tidak sombong....Amin."
Sementara itu, @etleshal turut memberi pujian," sayang Al Sultan Abdullah sangat, Daulat Tuanku ( love this King so much, Daulat Tuanku)."