Alam & Sains 14 Mar, 2020

COVID-19: BOLEH DITUDUH MEMBUNUH DI ITALI!!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

RAKYAT Itali atau sesiapa juga yang berada di negara itu dan menunjukkan tanda-tanda jangkitan penyakit Koronavirus atau COVID-19 seperti selesema, batuk dan demam tetapi enggan mengasingkan diri atau kuarantin, bakal berdepan dengan tuduhan termasuk tuduhan membunuh. : KitaReporters

PERINTAH kurantin di Itali hanya membenarkan farmasi serta kedai menjual barang makanan dibuka. - Kredit Getty Images.


Langkah ini menyerlahkan betapa seriusnya Itali mendepani isu COVID-19  ketika negara-negara lain di dunia juga bertungkus lumus mengekang penularan wabak tersebut.

Tindakan kerajaan Itali ini boleh difahami kerana di luar negara China, Itali adalah negara paling teruk dilanda COVID-19.

Sehingga Khamis, 12 Mac 2020, angka korban di Itali akibat Covid-19 melepasi angka 1,000 orang kepada 1,016, manakala lebih 15,113 disahkan positif.

Kerana itulah Itali amat serius menghadapi wabak ini dengan melaksanakan langkah drastik termasuk mengenakan hukuman berat kepada mereka yang enggan mengasingkan diri setelah mempunyai tanda-tanda positif COVID-19.

PASUKAN keselamatan Itali sentiasa menjalankan pemeriksaan rapi bagi menahan mereka yang didapati melanggar peraturan mengekang penularan COVID-19.- Kredit foto: Mega/Backgrid


Memetik laporan Metro, mereka yang enggan mengasingkan diri boleh dituduh membunuh kerana keengganan mereka boleh menyebabkan  jangkitan merebak cepat serta boleh menyebabkan kematian.

Mereka yang enggan ini ini berhadapan dengan risiko dikenakan hukuman penjara sehingga 21 tahun.

Negara ‘Menara Condong’ itu juga sehingga kini telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan serius dengan ‘mengkuarantin’ seluruh negara serta mengarahkan penutupan semua gedung perniagaan atau kedai-kedai selain farmasi dan kedai menjual barang makanan.

Rakyat negara itu juga tidak dibenarkan melakukan perjalanan, kecuali keperluan kerja atau kesihatan yang mendesak serta tidak dapat dielakkan.

Secara asasnya, mereka yang dikesan mempunyai simptom COVID-19  tetapi enggan mengasingkan diri berhadapan tuduhan menyebabkan kecederaan dan boleh dipenjara antara enam bulan hingga tiga tahun.

Bagaimanapun jika si pesakit itu menularkannya kepada warga emas atau golongan yang mudah terdedah menurut piawaian perubatan Itali, mereka boleh dituduh ‘membunuh dengan niat’.  

Hukuman penjara 21 tahun menanti mereka.

.

SEORANG pekerja perbandaran menjalan kerja-kerja penyemburan di jalan dan laluan kaki di Padua, Itali, untuk mencegah penularan COVID-19. - Kredit foto: EPA


Mereka yang gagal memaklumkan kepada orang lain bahawa mereka dijangkiti, atau meneruskan urusan harian setelah mengetahui mereka terdedah atau bersentuhan dengan mangsa COVID-19,  juga berhadapan hukuman sama.

Begitu juga seseorang yang sengaja mengabaikan peraturan kesihatan kerajaan dan menyebabkan orang lain sakit sehingga 40 hari atau lebih, mereka menghadapi risiko dipenjara antara tiga hingga tujuh tahun.

Sebelum ini Itali telah pun membuat undang-undang menghukum mereka yang diadapati dengan sengaja menularkan HIV kepada mangsa yang tidak mengetahuinya.

Kerajaan Itali juga memberi amaran sesiapa yang memberi alasan tidak benar untuk melepaskan diri daripada kuarantin dan bergerak dalam negara, boleh dituduh menipu dan dipenjara antara satu hingga enam tahun.

PETUGAS keselamatan memeriksa rapi orang ramai di Stesen Pusat Milan, Itali. - Kredit foto: REX


Jelas peraturan yang dikenakan oleh Itali ini walaupun menyebabkan negara itu seperti lumpuh dengan pelaksanaan kurantin seluruh negara, ia dianggap langkah terbaik bagi  memastikan COVID-19 tidak menular dengan lebih teruk.

Peraturan dan undang-undang yang dikenakan mungkin lebih ‘ganas’ daripada negara lain. Namun Itali pastinya tahu apa yang terbaik untuk rakyat dan negara itu.

Sehingga kini lebih 145,000 orang dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia dengan angka kematian dicatatkan menghampiri 5,500 orang. - KitaReporters

Laporan dan statistik terkini mengenai COVID-19 boleh diikuti di https://kitareporters.com/coronavirus


BAGAI diserang garuda. Suasana sepi dan lengang di bandar Turin, Itali berikutan pelaksanaan perintah kuarantin seluruh negara untuk mengekang penularan COVID-19. - Kredit foto: EPA

0
0
0
0
0
You will be interested