Alam & Sains 22 Apr, 2021

Berita Terkini| Terlepas janji temu pendaftaran vaksin! Nama tak terbatal! Dijadualkan semula!

@news editor 2
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com

Share this

Gambar hiasan... Status janji temu tarikh penerimaan vaksin boleh disemak dalam aplikasi MySejahtera. - Kredit foto: Bernama


PENDAFTARAN individu sebagai penerima vaksin tidak akan terbatal sekiranya mereka terlepas panggilan telefon untuk mengesahkan kehadiran tarikh janji temu bagi menerima suntikan.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi satu ciapan Twitter, pada 22 April 2021 memaklumkan tarikh baharu akan dijadualkan semula sekiranya penerima tidak menjawab panggilan telefon atau menjawab tidak untuk terima suntikan.

"Panggilan telefon adalah antara cara digunakan untuk memaklumkan tarikh janji temu dan peringatan (tarikh penerimaan vaksin) kepada individu yang sudah mendaftar bagi menerima vaksin COVID-19.

"Bagaimanapun nama seseorang tidak akan dipadamkan daripada sistem sekiranya mereka tidak menjawab panggilan berkenaan, tidak akan 'burn' (terbatal)," katanya.

Berhubung proses pengesahan penerimaan vaksin, JKJAV memaklumkan selain panggilan telefon, penerima vaksin yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera juga akan menerima tarikh temu janji melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan notifikasi dalam MySejahtera, 14 hari sebelum tarikh berkenaan.

Setelah terima notifikasi tersebut, penerima vaksin perlu membuat pengesahan kehadiran pada tarikh yang diberikan dengan menjawab ya atau tidak.

Pemohon yang sudah menerima SMS boleh menyemak status temu janji dalam MySejahtera, vaksincovid.gov.my dan 1800-888-828 dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau pasport dan nombor telefon berdaftar.

Kehadiran perlu disahkan dalam masa 48 jam dan jika individu tidak menjawab panggilan telefon atau menjawab tidak untuk terima suntikan, tarikh baharu akan dijadualkan semula. - KitaReporters 


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
0
0
0
0
You will be interested