Alam & Sains 07 Sep, 2021

Perniagaan meledak masa PKP! Marketing Mafia berjaya! Meng'huru-hara'kan jualan online MadBean!

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Mellow Cookies, antara biskut paling laris jualannya selepas diperkenalkan jualannya secara dalam talian sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.


Selepas hampir dua tahun pandemik covid-19 yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),  ironinya terdapat perniagaan yang semakin mencatat jualan yang memberangsangkan.

Ini dibuktikan oleh Pengarah Urusan MadBean Sdn Bhd, Mohd Taufik Khairuddin, 30, yang menceburi perniagaan berasaskan produk makanan berinovasi termasuk kek dan biskut berkonsepkan keriangan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan makanan

Pengarah Urusan MadBean Sdn Bhd, Mohd Taufik Khairuddin di samping produk yang laris dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini. 


“Pasti ramai yang masih ingat kenangan manis ketika zaman kanak-kanak menggilai serbuk milo yang enak “dicuri” daripada dapur mak. Momen manis itu mencetuskan idea kepada kami untuk  dikomersialkan kepada produk lain yang berpotensi.

“Melalui sesi memperkenalkan produk biskut yang disaluti serbuk coklat premium dan dinamakan Mellow Crunch dan Mellow Cookies ternyata mereka yang menikmatinya terbawa-bawa kenangan lama. Hasilnya dalam tempoh beberapa bulan sahaja permintaan meledak.

“Malah 40 peratus perolehan syarikat disumbangkan oleh produk Mellow dengan pengeluaran sebanyak 200,000 botol sebulan,“ ujarnya dalam sesi pengenalan perniagaan dan produk di Madbean Holding, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pemasarannya dan juga Influencer (selebriti media sosial) terkenal , Hanif Jamaluddin. 

Bagaimana pun menurut Taufik, sebelum terjun dalam bidang usahawan dia terlebih dahulu melepaskan kerjaya di sebuah syarikat penerbangan tempatan dan membantu isterinya berjualan kek.

“Kelebihan menguasai teknik pemasaran saya praktikkan dan pada musim PKP jualan sangat bagus cuma kekangannya kek tidak boleh melangkaui jualan di luar kawasan yang jauh termasuk Sabah dan Sarawak,” ujarnya.



Apabila perniagaannya membuahkan hasil, seorang demi seorang rakan-rakan yang turut terjejas pekerjaan akibat pandemik menemuinya.

“Mereka berterus terang minta apa-apa pekerjaan yang sesuai demi kelangsungan hidup. Sejujurnya tidak ada pekerjaan tetapi mereka ada peluang kerana masing-masing mempunyai kemahiran yang berbeza terutama dalam bidang pemasaran digital.

Kami tubuhkan satu pasukan yang terdiri daripada 12 orang yang dinamakan Marketing Mafia. Masing-masing diberi tanggung jawab mengendalikan operasi jualan, penjenamaan, promosi sosial media, reka bentuk pembungkusan secara sistematik.

“Marketing Mafia tidak ada kena mengena dengan kumpulan kongsi gelap atau menyalahi undang-undang  kerana kami hanya fokus  “menghuru-harakan” jualan dalam talian kepada sasaran  yang tidak masuk akal,” katanya.

Menurut Taufik percaturan unik pemasaran yang dilakukan oleh kakitangan berpengalaman dalam bidang digital itu mendorong mereka muncul trending dan berjaya mensensasikan  jenama di pasaran.

“Kami berhempas pulas dengan kelebihan promosi dalam media sosial, menguasai teknik pemasaran gila-gila berbekalkan beberapa produk biskut hasil kerjasama dengan beberapa rakan niaga lain.

“Ledakan teknik pemasaran ala mafia semakin meningkatkan jualannya dengan dibantu  oleh 500 influencer dalam tempoh dua tahun. Kapasiti produktiviti ditingkatkan dan kini sebanyak enam kilang beroperasi di sekitar Lembah Klang  termasuk sebuah di Bahau, Negeri Sembilan," katanya.



Taufik menambah, kejayaan yang diraih syarikat yang kini mempunyai 150 kakitangan dibandingkan dengan lapan pekerja pada peringkat awal disokong pasaran melalui lantikan pengedar.

Madbean, katanya berjaya mengrekrut 12,000 pengedar dengan bermodalkan RM100 sahaja, namun mampu menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Tahun hadapan (2022) pihaknya menyasarkan 20,000 pengedar supaya lebih ramai yang dapat dibantu.

“Apabila pasukan pemasaran menemui formula meningkatkan jualan melalui media sosial tempoh pelaksanaan PKP adalah tempoh sesuai perniagaan kami berkembang.

”Jika dibandingkan dua tahun lalu ketika syarikat baru memulakan operasi, pada bulan-bulan awalnya jualan sebanyak RM100,000 dan kini semakin meningkat kepada RM2 juta setiap bulan. Syarikat mengunjurkan perolehan sehingga RM25 juta menjelang hujung tahun,” katanya.

Bagaimana pun katanya, sasaran tersebut dibantu melalui aktiviti pemasaran yang tepat dan berdaya saing, produk inovasi hasil penyelidikan (R&D) serta kreativiti pasukannya memenangi hati pelanggan.

MadBean kini menawarkan lima rangkaian produk iaitu Mellow, Viscoff, Zombie Cookies, The Vanilla Bean dan juga Thachos yang mana harga ditawarkan pada harga RM13.90 sehingga RM16.90, manakala kek di The Vanilla Bean pula dijual antara RM6.50 hingga RM150 sebiji.

”Pada tahun 2018, Zombie Cookies berjaya memasuki rangkaian Watson dengan 650 cawangan di seluruh negara dan ia mengukuhkan lagi kedudukan syarikat. Produk juga berjaya dipasarkan ke Singapura dan Brunei dan kami mengintai pasaran Indonesia pada tahun hadapan,” katanya. - KitaRepoters


Pengarah Urusan MadBean Sdn Bhd, Mohd Taufik Khairuddin dan Ketua Pemasaran Hanif Jamaluddin menunjukkan beberapa produk keluaran syarikat mereka di Cyberjaya baru-baru ini. 

15
15
0
4
1
You will be interested