Alam & Sains 15 Feb, 2020

TAKUTKAN COVID-19: RESTORAN CINA TUTUP??

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SERANGAN koronavirus atau lebih tepat lagi virus Penyakit Koronavirus-2019 (COVID-19) bukan sahaja membunuh ramai di China tetapi juga ‘membunuh’ banyak restoran makanan Cina di Australia.  Akibat wabak virus tersebut, ramai pelanggan takut untuk mengunjungi restoran-restoran tersebut kerana bimbang dijangkiti. : KitaReporters.com

RESTORAN AQUA Chinese Food di Perth, Australia turut terjejas perniagaan takutkan wabak COVID-19. 


Cerita dan statistik terkini mengenai wabak COVID-19 di https://kitareporters.com/coronavirus


Sehingga ini sejumlah lebih 67,100 kes COVID-19 dilaporkan di China dan negara lain seperti Kore Selatan, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Vietnam dan Malaysia. Daripada jumlah, tersebut angka kematian sudah mencecah 1,527 orang.

Australia mencatatkan sekurang-kurangnya 15 kes positif COVID-19. Sekali pun belum ada kematian dilaporkan di negara itu, kerajaan amat berjaga-jaga untuk mengekang virus tersebut daripada merebak menjadi wabak di negara itu.

Antara langkah diambil oleh kerajaan Australia ialah mengingatkan rakyatnya agar tidak mengunjungi kawasan di mana terdapat ramai penduduk berketurunan Cina. 

Kerajaan bimbang mereka mungkin menjadi penyebar virus, sekalipun pun berada jauh dari tanah besar China.

RESTORAN Dragon Place di Perth juga mengalami nasib kurang dikunjungi pelanggan.


Ingatan kerajaan ini pastinya mewujudkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Australia. 

Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka tidak mahu lagi berada atau berinteraksi dalam kelompok masyarakat keturunan Cina, malah menjauhi kelompok tersebut.

Ini menyebabkan tempat-tempat yang biasanya menjadi tumpuan mereka sebelum ini menjadi sepi. 

Satu sektor yang terkesan teruk ialah restoran-restoran makanan Cina yang kini bagai dipulaukan.  Tiada lagi rakyat tempatan mengunjungi sedangkan selama ini restoran makanan Cina adalah kegemaran mereka.

Akibat itu juga, banyak restoran makanan Cina mengalami kerugian teruk, malah ada yang ditutup sementara. 

Jika situasi ini berterusan tidak mustahil restoran-restoran tersebut akan ditutup terus.

Memetik laporan South China Morning Post, di bandar Sydney dan Melbourne sahaja perniagaan di restoran Cina telah menjunam lebih 70 peratus sejak beberapa minggu lalu. 

Kesannya, beberapa buah restoran telah ditutup.

NOTIS penutupan Restoran House Of Delight di Melbourne.


Salah sebuah restoran terbesar ditutup ialah Shark Fin House di Melbourne. 

Restoran yang dibuka sejak 30 tahun lalu ditutup minggu lepas (hujung minggu kedua Februari 2020) setelah kehilangan 80 peratus pelanggan akibat kebimbangan penularan COVID-19.

Tim Chan, anak kepada Gabriel Chan yang menjadi pemilik bersama restoran keluarga itu, berharap fenomena ini adalah sementara dan restoran itu dibuka semula tidak lama lagi.

Menurutnya, keadaan ini amat mendukacitakan, namun dia lega kerana masih ada ramai yang memberi kata-kata semangat ketika menghadapi detik yang sukar dalam perniagaan mereka.

Restoran Dragon Hot Spot yang memiliki empat cawangan di Melbourne juga menghadapi masalah sama. Restoran itu kini suram, tidak meriah dan dipenuhi pelanggan seperti dahulu.

Pemiliknya menyifatkan penularan COVID-19 dan ingatan kerajaan Australia kepada rakyatnya telah benar-benar menyebabkan  perniagaan restoran malap tanpa diketahui bila boleh bersinar kembali.

SUASANA di Restoran Dragon Place. Dahulu dipenuhi pengunjung, kini sunyi.


Komuniti pemilik restoran Cina di Gold Coast juga terjejas teruk apabila perniagaan mereka menjunam sehingga 50 peratus secara purata. 

Angka ini diberikan oleh Charlie Man yang mengusahakan kedai makanan di Surfers Paradise, Queensland.

Menurut Charlie, perniagaannya banyak bergantung kepada masyarakat tempatan. 

Bayangkan nasib restoran yang bergantung kepada pelancong dari China, ia lebih teruk berikutan keputusan Australia menutup sempadannya kepada pelancong dari tanah besar China.

Ahi Parlimen Victoria Timur, Harriet Shing berkata, banyak restoran Cina dan Asia kini kosong dan risiko untuk ditutup memang ada.

Ketakutan untuk makan di restoran Cina ini bukan sahaja wujud dalam kalangan penduduk Australia, malah juga dalam kalangan rakyat negara itu yang berketurunan Cina.

Pengurus New Chilli House, Victor Tan berkata, ketakutan mengenai COVID-19 tersebar dengan cepat dalam talian terutama dalam bahasa Cina selain mesej dalam WeChat.

Akibatnya, mereka yang berketurunan Cina menjadi takut dan tidak lagi mengunjungi tempat-tempat makan atau kedai-kedai yang dimiliki bangsa mereka.

PEMANDANGAN di sebuah restoran China di Australia yang pada masa kini hanya tinggal kenangan.


Seperti yang digambarkan oleh pengurus restoran Good Luck Hot Pot, Jack Chen, suasana sangat kelam baginya dan kakitangan restoran. 

Menurutnya, dia hanya mampu bertahan selama tiga minggu sahaja lagi. Jika keadaan tidak bertambah baik, restoran mungkin ditutup.

Keadaan sama juga berlaku pada kedai runcit. Pemilik kedai di Box Hill, Melbourne, Richard Si memberitahu, perniagaannya di premisnya, Sweet Kingdom, merosot 40 peratus sejak dua minggu lalu.

Untuk rekod, berdasarkan bancian 2016, seramai 1.2 juta rakyat Australia berketurunan Cina. Ini merupakan lima peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Australia.

Dengan keadaan yang berlaku sekarang, masyarakat keturunan Cina menganggap mereka didiskriminasi, dipulaukan serta dianggap sebagai penyebar COVID-19 sehingga menjejaskan teruk perniagaan mereka.

Bagi mereka, masyarakat keturunan Cina di Australia bukan mati disebabkan oleh penularan COVID-19 tetapi oleh suasana ekonomi yang mencengkam. - KitaReporters.com

1
2
4
0
0
You will be interested