DIA bukan pelakon, juga bukan penyanyi. Bukan juga juara ‘Maharaja Lawak’. Tetapi namanya cukup dikenali di kawasan Taman Tun Sardon, Gelugor, Pulau Pinang. Bukan sahaja penduduk kawasan sekitar mengenalinya bahkan penduduk dari tempat lain yang datang ke kawasan tersebut juga mengenalinya. : KitaReporters.com
JUSOH DIN menggoreng cakoi atau 'Pak Tongko' di gerainya di Taman Tun Sardon, Gelugor, Pulau Pinang.
Begitulah popularnya Jusoh Din penjual cakoi. Di Pulau Pinang cakoi dikenali sebagai ‘Pak Tongko’.
Cakoinya sedap dan kerana itu gerai jualannya di taman tersebut sentiasa menjadi tumpuan ramai, bukan sahaja oleh penduduk setempat tetapi juga dari tempat lain.
Jusoh, 39, yang berganding bahu berniaga bersama isterinya, Noor Hayati Abdul Kadir, 28, serta seorang pembantu mula berniaga cakoi pada 2007. Sebelum itu, dia membuat kerja-kerja menghantar makanan ke tapak-tapak projek dan kantin.
Idea berniaga cakoi datang daripada orang tua Jusoh dengan resipi turun temurun.
Pada peringkat permulaan, dia berniaga secara bergerak di pasar malam dan pasar pagi sebelum menyewa gerai di Sungai Batu, Teluk Kumbar.
Mereka kemudian pindah berniaga ke Taman Tun Sardon pada 2015 apabila dapat menyewa gerai niaga di situ, berhampiran Masjid Al-Taqwa.
BERGANDING BAHU... Jusoh dan isteri, Noor Hayati, di gerai niaga mereka.
Jusoh yang mempunyai tiga orang anak, berniaga setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari kecuali jika ada hal-hal yang tidak dapat dielakkan.
Rasa yang enak, lembut dan rangup dengan harga hanya 50 sen satu, menjadikan cakoi Jusoh pilihan ramai.
Mereka datang untuk beli dibawa balik atau makan di situ sambil menghirup teh tarik. Cakoi di Tanjung ini dimakan bersama kuah.
Pasangan gigih ini yang tinggal di Batu Uban bukan hanya berniaga pada sebelah pagi. Selepas balik berehat dan membuat persiapan perlu, mereka sambung berniaga pada sebelah petang dari pukul 2 hingga 6 petang.
Lokasi berniaga sebelah petang beralih ke Astaka Taman Tun Sardon, bersebelahan pasar taman berkenaan dan tidak jauh dari gerai berniaga pagi.
Ini kerana pada waktu petang kawasan Astaka ini lebih ‘hidup’ dan meriah dengan orang ramai, berbanding gerai niaga pagi yang yang aktif pada sebelah pagi dan malam sahaja.
CAKOI yang siap digoreng. Sekejap sahaja akan habis dibeli oleh pelanggan.
CAKOI dimakan cicah kuah.
Mengenai rutin persiapan berniaga, Jusoh memberitahu, dia akan bangun awal kerana kerja mengadun dan menguli tepung dilakukan sebelum subuh pada hari hendak berniaga. Begitu juga memasak kuah.
Kerja mengadun dan menguli ini memerlukan kepakaran untuk memastikan tepung yang diadun dengan campuran perencah gula, garam, soda dan 'yeast' (ragi) menjadi ‘dough’ yang lembut dan pejal.
Perencah mesti tepat sukatannya untuk memastikan ia meresap dan serata dalam ‘dough’ bagi menghasilkan rasa cakoi yang enak apabila digoreng.
“Pada hari-hari biasa lapan kilogram tepung digunakan. Pada hujung minggu atau hari-hari cuti, jumlah ini bertambah sekali ganda kepada 16 kilogram kerana jumlah pelanggan yang bertambah.
“Satu kilogram tepung boleh menghasilkan antara 50 hingga 60 biji cakoi,” kata Jusoh yang juga berniaga di pasar Ramadan Taman Tun Sardon setiap tahun untuk juadah berbuka pelanggan.
PELANGGAN membeli cakoi untuk dibawa balik.
Selain jualan harian, Jusoh juga sedia menerima tempahan bagi majlis-majlis seperti perkahwinan, hari jadi, bertunang atau hari raya.
Pada majlis-majlis ini, beliau akan datang sendiri ke tempat majlis berlangsung dan menggoreng cakoi panas-panas di lokasi untuk tetamu.
Kepada mereka yang ingin merasai keenakan cakoi Jusoh bolehlah mengunjungi gerainya sama ada pada sebelah pagi atau petang di lokasi yang disebutkan.
Mereka yang berminat membuat tempahan boleh berhubung terus Jusoh melalui talian 018-2228342 atau isterinya Noor Hayati melalui talian 0111-6560360. - KitaReporters.com
'DOUGH' yang lembut dan pejal menghasilkan cakoi yang rangup enak.
ENAKNYA menikmati cakoi sambil menghirup teh tarik.
PADA bulan puasa, Jusoh berniaga cakoi di Pasar Ramadan Taman Tun Sardon.
NOOR HAYATI di gerai niaga sebelah petang di Astaka Taman Tun Sardon.
JUSOH menggoreng cakoi dengan pelanggan menunggu untuk membeli.