ASSALAMUALAIKUM dan selamat pagi. Kongsi minda, bersih jiwa. : KitaReporters.com
Renungan.
Kerja satu ibadah
Pekerja yang baik tidak curi tulang
Tidak mengampu untuk rasuah bos
Budaya kerja dan hidup tidak banyak beza.
Ia berpandukan suatu nilai yang dipegang oleh setiap orang. Ikhlas dan jujur.
Muafakat membawa berkat. Siapa rajin dia dapat.
Nilai kerja ialah cara yang diamal oleh seseorang untuk buat kerja. Jika apa yang diamalkan itu baik, nilai kerja itu juga akan menjadi baik atau positif.
Jika tidak, ia dianggap tidak baik atau negatif dan menghalang prestasi.
Dalam melaksanakan kerja perlu ada nilai yang baik untuk dijadikan panduan. Nilai yang perlukan adalah komitmen dan tanggungjawab.
Kerja adalah amanah dan juga satu ibadah.
Orang yang amanah kepada kerja tahu tanggungjawabnya dan tidak curi tulang.
Mereka tidak ambil kesempatan dan berusaha mendapat rezeki yang halal.
Mereka tidak mengampu boss untuk naik pangkat.
Mereka juga tidak suka buang masa.
Selalu berbincang, suka menghasilkan kerja yang paling baik, tidak mengira masa dan suka menolong dan membantu rakan sekerja.
Mereka pekerja contoh.
Buat kerja sepenuh hati dan patuh kepada arahan ketua.
Kerja mereka menjadi mudah kerana sentiasa senyum dan menghormati orang semasa berurusan.
Walaupun tidak mendapat pujian mereka bangga dengan hasil kerja mereka dan sentiasa muhasabah diri untuk terus meningkatkan prestasi.
Boss tak puji pun tak kisah, janji kerja jalan, hasilnya lumayan!
Amalan kerjasama, tolak ansur, adil, jujur, ikhlas dan berbaik sangka menjadi garis panduan untuk lebih menghargai tanggungjawab yang dipikul.
Tidak menyakiti hati dan menutup aib orang lain juga menjadi keutamaan mereka yang hormat kepada kerja.
Seorang pekerja yang baik, walau apa juga keadaan, perlu sabar, tidak marah, selalu bertenang dan lebih suka berbincang untuk kebaikan semua pihak.
Ingatlah..
Kalian tidak akan berjaya dalam kerja jika suka membuang masa dan melepak.
Membuat kerja tanpa meminta pandangan orang lain juga amalan tidak baik dan perlu dihentikan.
Tidak peduli dengan hasil kerja juga membawa padah jika terus diamalkan.
Ia merosakkan kredibiliti kita sebagai pekerja yang diharapkan.
Berkira kerja juga perlu dikikis.
Jangan buat kerja melepas batok di tangga. Buat kerja sedikit, selebihnya tunggu masa untuk balik.
Hendak membantu?
Jauh sekali. Sikap tidak suka menolong dan sambil lewa dalam kerja juga tidak patut berlaku. Ia merugikan diri sendiri.
Jangan dengki bila orang naik pangkat kita masih pada takuk lama.
Rezeki tidak masuk jika bermasam muka dengan orang semasa berurusan.
Bahkan orang pun benci.
Lebih-lebih lagi jika suka mengampu.
Kerja tak seberapa lagak yang lebih.
Oleh itu sedar diri, rezeki dari Allah.
Jangan lupa bersyukur.
❤️🌹 Jika mahu berjaya, jangan hanya terpaku memandang tangga tetapi berfikirlah bagaimana hendak mendakinya. ❤️🌹