SEORANG wanita berusia 21 tahun dari Afrika Selatan, yang dilahirkan dalam kem perlindungan haiwan, akhirnya menjadikan haiwan sebagai sebahagian hidupnya. : KitaReporters.com
Kristen bersama-sama salah seekor cheetahnya. - Foto kredit https://metro.co.uk/
Menggambarkan dirinya sebagai Dr. Dolittle, Kristen Kerr memilih belajar di rumah atau home schooling semasa berusia 10 tahun kerana tidak boleh berpisah dengan haiwan kesayangan semasa berada di sekolah.
Memetik laporan portal Metro UK, Kristen kini bekerja sepenuh masa di pusat perlindungan haiwan dan memelihara cheetah, zirafah dan kuda belang serta pelbagai haiwan lain yang semuanya dikatakan tidak berbahaya.
Bapanya Barry, 54 memelihara singa dan kucing besar lain dan mengajarnya semua mengenai haiwan.
"Kami menyelamatkan cheetah dari ladang ternakan di mana pemiliknya menghadapi masalah kewangan dan terpaksa melepaskan ladangnya.
"Salah seekor cheetah sedang bunting dan kami pelihara anak-anak yang dilahirkan," katanya.
Rumahnya hanya terletak dua meter dari kawasan cheetah supaya Kristen mudah memantau keadaan mereka.
Ular sawa antara teman permainan Kristen semasa kanak-kanak. - Foto kredit https://metro.co.uk/
Pada September 2018, Kristen pernah berhijrah ke bandar
Johannesburg untuk mencuba dunia korporat, tetapi dia tidak sesuai hidup di bandar.
"Saya tidak boleh setiap hari ke pejabat dan menghadap komputer. Itu bukan dunia saya. Saya rindu bermain dan bermanja dengan kucing besar, beri mereka makan.
"Saya mendidik sukarelawan mengenai haiwan dan menunjukkan kehebatan mereka," katanya.
Kristen kembali semula ke kampung halamannya awal tahun 2019 untuk bersama dengan haiwan di pusat perlindungan.
"Kadangkala saya terlupa cheetah adalah haiwan liar kerana saya terasa seperti boleh berinteraksi dengan mereka.
"Saya memelihara tiga ekor cheetah sejak lahir sepeti keluarga. Saya tahu mereka akan melindungi saya seperti saya melindungi mereka," jelasnya.
Haiwan sentiasa ada di mana sahaja Kristen berada. - Foto kredit https://metro.co.uk/
Semua haiwan ini jelas Kristen tidak bahaya kerana dia biasa membelai dan memanja, malah mencium cheetah peliharaannya.
Sekarang Kristen memelihara tujuh ekor cheetah termasuk seekor yang masih liar.
"Apa yang pasti saya tidak akan memaksa mereka menjadi kawan, tetapi saya tidak akan menyakiti mereka sehingga mereka percayakan saya.
"Sehingga kini tiada seekor haiwan pernah menyakiti saya dan jika ada mungkin kerana kesalahan saya sendiri," katanya.
Kucing besar yang pertama dipelihara oleh Kristen adalah dua ekor singa berusia tiga bulan semasa dia berusia 11 tahun.
"Saya masih ingat betapa gembiranya saya ketika itu," katanya. - KitaReporters.com