Pesona 29 Nov, 2019

BUBAR PARTI KOMUNIS: JASA MOKHTAR BAGINDA

@zamzurina ahmad
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan berpengalaman selama 11 tahun dengan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Pulau Pinang, Kedah dan Pahang. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Putra Malaysia.

Share this

 

SEPINTAS tatkala kisah abu mayat Chin Peng menjadi bualan hangat ramai teringat saya kepada Allahyarham Dato' Mokhtar Mahmood Baginda yang kali pertama saya bersua muka kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu. Ketika itu saya mengenali Allahyarham sebagai orang yang bertanggungjawab dalam Perjanjian Damai Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM). : KitaReporters.com

Allahyarham Dato' Mokhtar Mahmood Baginda (kanan) bersama penulis dan seorang lagi wartawan veteran Utusan, Mat Piah Teh Deris. 


Suka atau tidak saya memetik kata-kata Allahyarham bahawa Allahyarham yang ketika itu seorang wartawan adalah individu bertanggungjawab membawa kepada pembubaran dan perletakan senjata oleh PKM. 

Semua itu berlaku selepas 41 tahun Malaysia berada dalam belenggu ancaman komunis. 

Dalam pertemuan itu, saya masih bertugas sebagai wartawan sebuah akhbar arus perdana, Utusan Malaysia yang diamanahkan tugasan menemu bual Allahyarham ketika ura-ura ada pihak mahu membawa Chin Peng ke Malaysia. 

Untuk rekod, Allahyarham juga merupakan insan penting yang memainkan peranan membuka jalan kepada Rundingan Hatyai antara pihak berkuasa Malaysia dan pemimpin utama PKM seperti Abdullah CD dan Chin Peng pada 2 Disember 1989 di Hotel Le Garden, Hatyai, Thailand yang membawa kepada peletakan senjata oleh pengganas komunis. 

  


Allahyarham Dato' Mokhtar meninggal dunia pada usia 81 tahun di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada 20 April 2018.

Allahyarham yang lahir pada 21 Jun 1937 pernah menjadi wartawan Utusan Melayu dengan pernah memegang jawatan Setiausaha Akhbar Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan Menteri Besar Pahang.

Selain Najib, Allahyarham juga pernah menjadi setiausaha akhbar kepada dua Menteri Besar Pahang sebelum Najib iaitu Datuk Rahim Abu Bakar dan Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman. 

Terngiang kata-kata Allahyarham ketika saya ajukan pertanyaan bagaimana jika Chin Peng pulang ke Malaysia. 'Banyak hati akan terguris'.

AJK dan beberapa ahli Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) megunjungi Allahyarham Mokhtar Baginda di rumahnya pada tahun 2016.


Demikian antara ungkapan Allahyarham kepada saya. Selepas itu saya sering bertemu Allahyarham di majlis-majlis rasmi dan hanya tersenyum tanpa banyak bicara. 

Pertemuan kedua dan terakhir apabila saya membuat liputan di rumah Allahyarham yang ketika itu sakit pada 28 Julai 2016. Sedih melihat keadaan Allahyarham dan terkenang jasa Allahyarham pada negara yang boleh saya katakan seperti wira tidak didendang. 

"Habis jasa, habislah." Luah Allahyarham di depan rakan-rakan seangkatannya yang menziarahi Allahyarham ketika itu. Rakan-rakan yang tidak pernah lupa akan Allahyarham itu adalah rombongan Kelab Veteran Utusan Melayu. Rasa sebak ketika itu saya tahan. 

Allahyarham sampai menyuarakan hasrat mahu menjual kereta miliknya bagi menampung ubat-ubatan dan rawatan susulan akibat penyakit yang dialami. 

Allahyarham sekali lagi bercerita mengenai pertemuannya dengan Chin Peng dan Rashid Maidin dengan menunjukkan foto peristiwa itu sebagai bukti.  

Dari jauh saya ikuti perjalanan hidup Allahyarham sehingga menghembuskan nafas terakhir. Atas nama tugas juga saya sekali lagi membuat liputan terakhir ketika pengkebumian Allahyarham pada 20 April 2018 di Tanah Perkuburan Islam Jalan Gambang, Kuantan, Pahang. 

Allahyarham meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan dialisis pada petang Jumaat. 

Bagi saya perjuangan Allahyarham bukan kepalang dan tidak hanya berjuang untuk dirinya sehingga terlupa mengumpul harta untuk diri dan keluarga. 

Apapun semua sudah berlalu.  Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan kekasihNya. Al-Fatihah. - KitaReporters.com

4
7
2
1
0
You will be interested

BAYI MAUT DALAM KERETA: ELAK KUTUK, BERI DOA

PADA 17 Februari 2020, kita semua digemparkan dengan kematian seorang bayi 9 bulan di dalam kenderaan bapanya di Kompleks Tun Razak di Indera Mahkota, Kuantan

DIBERI AMARAN!! SERONOK YANG BAWA PADAH

Wan Amirul Naim Wan Abdul Ajik, 18, dari Macang, Kelantan lemas selepas mangsa ditarik arus deras ketika mandi manda di pusat perkelahan Lata Kolam, Hulu Besut
Mohammad Ishak in Pesona 4 years ago

[VIDEO] BARANG CURI DISOROK DI DALAM SELUAR

Seorang mak cik 'kantoi' mencuri di sebuah pasar raya. Beliau mencuri banyak barangan premis yang dianggarkan berjumlah RM300, yang disorok di dalam seluarnya
Nur Syamila Kamarul Arefin in Pesona 4 years ago

"ABANG RINDU ABAH"... RINDU SI ANAK SYURGA

Muhammad Nazren Firdaus, atau Abang, seorang anak autisme yang telah kehilangan ayahnya pada April 2019. Setiap Jumaat Abang akan ke pusara untuk berjumpa abah
Roslan Rusly in Pesona 4 years ago

SEDIHNYA! LAGI DOKTOR JADI KORBAN COVID-19

LIU ZHIMING, 50, iaitu Pengarah Hospital Wuhan Wuchang, China menjadi mangsa korban terbaru wabak COVID-19 dalam kalangan petugas perubatan
Fauzan Uda Ahmad in Pesona 4 years ago