Beras dimuatkan dalam kenderaan untuk diagiohkan kepada penduduk kampung
SEBAK dan terkedu melihat nasib penduduk kampung yang tidak mampu untuk menyediakan makanan harian untuk sesi sekeluarga kerana menghadapi masalah kewangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan akibat penularan COVID-19, lapan beradik yang berkongsi kesedihan tersebut mengumpul dana untuk membantu penduduk yang terkesan tersebut.
Lapan beradik dari Kampung Pak Mentosa, Besut, Terengganu, yang terharu melihat nasib yang dialami penduduk kini gigih mengumpul dana untuk membeli pelbagai barangan keperluan harian bagi membantu penduduk berkenaan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan tolong kami:
https://kitareporters.com/search?search=tolong+kami
Zainudin Mat Daud
Zainudin Mat Daud, 49, yang mengetuai kumpulan adik beradik tersebut beruntung kerana tujuh adik beradik lain sanggup berkorban wang ringgit selepas mengetahui ramai penduduk kampung itu terjejas teruk ketika masih berada dalam tempoh PKP.
Menurut Zainudin, melihat penderitaan yang dihadapi ramai penduduk, beliau bersama adik beradik lain berpakat mengeluarkan wang masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan untuk diagihkan kepada penduduk terbabit.
Beras yang disimpan dalam premis milik keluarga Zainudin untuk diagihkan kepada penduduk kampung
Katanya, program yang bermula sejak seminggu lalu akhirnya menampakkan hasil apabila menerusi kutipan daripada adik beradik tersebut pihaknya menempah beras daripada sebuah syarikat pengedar beras terbesar daerah Besut dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Zainudin berkata, menerusi program itu pihaknya ada dua kaedah digunakan bagi pengagihan tersebut dengan mengedarkan sendiri barang keperluan terus kepada penduduk dan satu cara lagi penduduk datang mengambil sendiri di sebuah premis yang menempatkan barangan tersebut.
Penduduk kampung yang memerlukan beras boleh juga datang mengambil sendiri di premis milik keluarga Zainudin.
“Untuk permulaan pihaknya hanya menyediakan bahan keperluan asas utama itu beras dan selepas ini, pihaknya akan menambah beberapa barangan keperluan harian lain,” katanya.
Sebelum ini, katanya, pihak ahli keluarga beliau pernah membuat program amal yang sama bagi membantu penduduk kampung di Selangor yang juga terjejas dengan pelaksanaan PKP pertama pada Mac 2020.
Zainudin turut menggunakan media sosial untuk hebahan kepada orang ramai yang memerlukan bantuan beras.
Zainudin berkata, pihaknya akan meneruskan program amal keluarga ini sehinggalah pelaksanaan PKP ditamatkan oleh kerajaan dan penduduk terjejas boleh melakukan kerja harian seperti biasa.
“Bagi menyalurkan info program amal tersebut pihaknya tidak ketinggalan menggunakan media sosial sebagai hebahan kepada penduduk yang memerlukan bantuan,” katanya. - KitaReporters