Insan & Komuniti 11 Apr, 2020

3H3M, 1,400KM!! IBU NAIK MOTO JEMPUT ANAK!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this
"KASIH ayah sepanjang jalan, kasih ibu sanggup bergadai nyawa demi anak-anak tercinta." Seorang ibu sanggup menunggang skuternya untuk meredah perjalanan sejauh 1,400 kilometer semata-mata mahu menyelamatkan anak lelakinya yang bersendirian akibat terperangkap dalam perintah `lockdown` bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19 di India. : Kitareporters. Com.

Ibu, engkaulah ratu hatiku..  - Kredit gambar: IndiaGlitz.


Jauh jarak perjalanan itu hampir dua kali ulang alik dari Kota Bahru hingga ke Kuala Lumpur bukan calang-calang, namun wanita itu memberanikan diri bergerak bersendirian menunggang skuter melalui selok belok jalan raya yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini. 

Bak kata pepatah, tiada kasih seindah kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.

Akhbar IndiaGlitz melaporkan Razia Begum, seorang pengetua sebuah sekolah kerajaan di Bodhan, Nizamabad menunggang motosikal itu selama tiga hari, tiga malam menuju ke Nellore, Andhra Pradesh untuk menyelamatkan anak bongsunya, Nizamuddin, yang baru berusia 19 tahun

Razia selamat sampai di Bodhan pada Rabu, 8 April 2020 bersama Nizamuddin, yang terperangkap di Nellor sejak Mac 2020.

Jarak bukan penghalang malah segala bahaya sedia ditempuhinya, terutama masalah tempat tidur, makan dan aspek keselamatan kerana dia wanita dan kenderaan khususnya waktu malam. 

"Sebaik dapat tahu dia terperangkap hati saya tidak senang. Dia berada nun jauh keseorangan. 

"Saya bimbang dia tidak ada makanan dan apa akan jadi jika dia disahkan positif Covid-19.  

"Saya tidak boleh tidur, makan dan akhirnya inilah satu-satunya cara untuk membawa dia pulang. Biar saya yang datang mengambilnya," katanya.

Bodhan, Nizamabad terletak kira-kira 700 km dari Nellore, Andhra Pradesh. - Kredit foto: GoogleMap


Buah hati ibu....mari kita balik sayang. Kredit gambar: IndiaGlitz


Razia berkata Nizamuddin sebenarnya dalam perjalanan ke Rahamatabad, Nellore untuk menghantar pulang seorang rakannya ke daerah itu tetapi bila sampai di sana, anaknya pula terperangkap apabila kerajaan India menguatkuasakan sekatan perjalanan akibat Covid-19 melanda negara itu.

Risau dengan keadaan anaknya, Razia kemudian berusaha mendapatkan surat kebenaran polis dari daerahnya sebagai pelepasan di sepanjang perjalanan untuk menyelamatkan anak lelakinya. 

Dia hanya ada skuter dan kenderaan itulah yang membantunya perjalanan selama tiga hari, tiga malam itu.

Sepanjang tempoh itu, macam-macam peristiwa dilaluinya dan sebagaimana kisah kembara yang difilemkan dalam 3 Idiots, Razia melalui perkampungan dengan pemandangan alam sekitar yang indah dan sesekali bertembung dengan sekatan jalan raya. 

Ada masanya dia melalui daerah yang sunyi apabila penduduk terkurung di rumah. Semua itu dilalui dan lega, akhirnya dapat bertemu anak lelakinya.

Razia menyifatkan sepanjang perjalanan adalah pengalaman yang sangat sukar tetapi demi nyawa anaknya, dia bersedia apa saja, pertaruhkan jiwa dan raganya asalkan dapat membawanya pulang dengan selamat.

Ribuan batu ibu datang untuk selamatkan anak tersayang. - Kredit gambar: IndiaGlitz


Mengingatkan perjalanan itu, Razia berbekalkan beberapa paket roti dan air minuman selain berdoa semoga skuternya tidak memberinya banyak masalah kerana sepanjang perjalanan dia sudah menjangkakan mungkin sukar untuk meminta bantuan disebabkan wabak Covid-19 itu.

Razia kehilangan suaminya sejak 15 tahun lalu dan memiliki dua anak. 

Seorang daripadanya menjadi jurutera dan Nizamuddin adalah anak bongsu yang tinggal bersamanya. - Kitareporters

1
5
1
0
0
You will be interested