Insan & Komuniti 07 Jul, 2022

Terima kasih Cikgu! Ini sahaja kami dapat bantu! Tolong bersihkan rumah, sekitar daripada lumpur!

@che saad noordin
Che Saad Noordin bekas stringer Bintang Timur, Utusan Malaysia/Utusan Melayu, Watan Harian, TV3, RTM dan Bernama untuk daerah Baling dan sekitarnya

Share this

Keadaan rumah Cikgu Ahmad Hisham Mohd Yudin di Jalan Lata Chelak, Kampung Iboi, Kuang yang dipenuhi lumpur akibat banjir mengejutkan pada 4 Julai 2022. - Kredit foto: Che Saad Noordin


SEORANG guru sebak menahan air mata apabila melihat lima orang bekas anak muridnya datang ke rumahnya pada petang, Rabu, 6 Julai 2022 untuk membantu membersihkan rumah dan kawasan luarnya yang dipenuhi lumpur.

Cikgu Ahmad Hisham Mohd Yudin, 42, yang tinggal di Jalan Lata Chelak, Kampung Iboi, Kupang di Baling, Kedah sebak ketika melihat lima bekas pelajarnya datang dengan membawa cangkul dan alat untuk membersihkan lumpur serta pasir yang memenuhi ruang rumahnya akibat dilanda banjir pada Isnin, 4 Julai 2022.

Cikgu Ahmad Hisham Mohd Yudin.


Ketika ditemui, Cikgu Ahmad Hisham yang masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Bakai, Kupang memberitahu dia tidak menduga sama sekali lima bekas anak muridnya yang kini di Tingkatan 4 sanggup datang membantunya.
Jelasnya, sejak kampung dan rumah di sekitarnya dilanda arus besar berpunca dariapda kepala air, tiada pihak yang datang atau bantuan yang diberi bagi membantunya untuk membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur sejak tiga hari lalu.
Tragedi kepala air itu dipercayai berpunca daripada beberapa buah kolam besar, di kawasan ladang durian terbesar di kawasan Gunung Inas yang tidak jauh dari rumahnya, pecah.
Dengan nada sayu beliau berkata, dia amat terharu bila melihat lima bekas anak muridnya sanggup datang dari jauh hampir 60km untuk membantunya membersihkan rumah.
Katanya pada KitaReporters, dia menangis kerana ada antara bekas pelajarnya berkata ketika bersalam dengannya,"kami tidak mampu membalas jasa Cikgu yang mendidik kami, walaupun datang membantu Cikgu ketika dalam kesedihan akibat rumah dilanda banjir besar".

Cikgu Ahmad Hisham (dua dari kiri) dan tiga daripada lima bekas pelajarnya tekun membersihkan lumpur di luar rumah guru mereka.


Ketika ditanya kejadian jam 5 petang 4 Julai 2022 lalu, Cikgu Ahmad Hisham memberitahu, beliau masih di sekolah membimbing pelajar-pelajar sekolahnya bersukan.
Katanya, isterinya ada menghantar pesanan melalui WhatsApp kepadanya untuk memberitahu halaman rumah mereka dilanda banjir, namun beliau tidak menyangka dalam masa tidak sampai lima belas minit kemudian isterinya memberitahu lagi yang rumah mareka sudah dimasuki air yang berlumpur dan ketulan perdu kayu yang dihanyutkan oleh banjir.
Bagaimanapun beliau bersyukur kerana ada jiran yang melalui di kawasan belakang rumahnya membantu isterinya dan anaknya keluar dari rumah untuk ke kawasan tinggi bagi berlindung daripada banjir.
Sementara itu, lima pelajar berkenaan yang sedang tekun membersihkan lumpur dan pasir di luar dan dalam rumah ketika ditemui KitaRepirters berkata, mereka cuma mahu membalas jasa cikgu mereka selama beliau mengajar mereka ketika di sekolah rendah dulu. 
Malah kelima pelajar berkenaan ketika diminta nama untuk dituliskan dalam berita ini, salah saorang daripadanya berkata "kami ikhlas ke sini membantu Cikgu yang banyak berjasa pada kami."


Dalam pada itu, berbagai-bagai pihak NGO dari beberapa negeri telah mula turun padang sejak semalam (Selasa, 5 Julai 2022) sehingga petang ini (Rabu, 6 Julai 2022) untuk membantu mangsa-mangsa banjir di lima kampung yang dilanda tragedi kepala air itu.
Bagaimanapun seorang anggota sukarelawan memberitahu KitaReporters, mereka berhadapan dengan masalah laluan untuk ke rumah-rumah mangsa kerana tiada laluan yang boleh dilalui kenderaan empat roda yang mereka bawa. - KitaReporters

12
16
0
10
0
You will be interested