Ramadan datang lagi. Seiring dengan tugas dan tanggungjawab wanita yang bertambah.
Bulan penuh barakah. Sarat dengan hikmah. Bulan untuk tingkatkan ibadah dan bersedekah. Mengabdikan diri kepada Allah.

Tugas wanita pada bulan puasa bukan setakat ibadah tetapi, mengurus rumah tangga, dan menyediakan juadah berbuka. Semuanya bernilai pahala besar.
Wanita yang bergelar isteri, ibu, nenek, kakak dan adik digalakkan meniatkan kerja rumah seperti memasak dan mengemas kerana Allah untuk meraih ganjaran.
Bagi wanita yang datang haid, jangan berdiam diri kerana anda boleh mengisi masa dengan berzikir, berdoa, mendengar al-Quran, dan bersedekah.
Segala bakti dan kerja yang dilakukan oleh wanita pada bulan Ramadan dijanjikan Allah dengan ganjaran pahala berganda.

Walaupun Ramadan bulan beribadah, tugas hakiki wanita dalam rumah tangga tetap perlu diutamakan.
Menyediakan makanan sahur dan berbuka, serta mengurus keperluan keluarga, turut dikira sebagai ibadah jika dilakukan dengan ikhlas.
Kita maklum puasa bulan melayan selera keluarga juga. Anak-anak mahukan menu terbaik daripada air tangan ibu.
Penat juga ibu hendak melayan kerenah anak anak. Bayangkan jila anak ramai dan seleranya pula pelbagai.
Namun seorang ibu bijak membeli jiwa anak-anak dengan cara paling harmoni dan penuh kasih sayang. Akhirnya semua gembira di meja makan, melayan apa ibu masak.
Walau bazar Ramadan tumbuh bagai cendawan lepas hujan, air tangan ibu tetap dituntut. Mahu tak mahu ibu akan berusaha memenuhi selera anak-anak dan suami.
Pada masa sama, jika ada rezeki lebih elok berkongsi dengan jiran atau saudara mara yang berdekatan.
Ini kerana menyediakan juadah berbuka untuk orang berpuasa memberikan pahala yang sama seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangkan pahala mereka.

Bukan mudah bagi seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu untuk mengimbangi tugas harian dengan ibadah seperti solat tarawih, membaca al-Quran, dan qiyamullail.
Namun semua itu bukan alasan jika urusan harian disusun atur dengan elok sepanjang Ramadan.
Pada masa sama, bersabar dalam menguruskan rumah tangga sambil menahan lapar dan dahaga, juga menambah nilai pahala.
Setiap pengorbanan wanita dalam menguruskan rumah tangga pada bulan Ramadan adalah peluang keemasan untuk mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.
Syariah Islam telah membimbing para wanita ke arah segala perkara yang dapat merealisasikan ketenangan, kasih sayang, kebahagiaan dan ketenteraman buat mereka.
Asas dan tonggaknya ialah keseimbangan antara tuntutan syarak yang berkaitan dengan ketaatan kepada Tuhannya dan ketaatan kepada suaminya dalam perkara yang makruf.

Oleh itu, sunah yang suci telah menyebut dengan lafaz yang paling jelas bagi mendorong wanita ke arah hal tersebut.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”
Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480).
Oleh itu jangan buang masa. Sekiranya sesuatu pekerjaan itu sememangnya beroleh ganjaran buat wanita secara umum, maka ganjarannya akan menjadi lebih besar dan lebih bernilai apabila ia dilaksanakan dalam keadaan berpuasa khususnya apabila wanita terdebut menghadapi kesukaran untuk melaksananya.
Bahkan, balasan pahala tersebut akan digandakan lagi pada bulan Ramadan disebabkan kemuliaan dan keistimewaan bulan itu,
Jom kita tunai tanggungjawab dan raih pahala berganda. Janji Allah itu pasti. - KitaReporters
