Anjing Rotweller nampak garang tetapi sangat penyayang dan kasih kepada tuannya. - Kredit foto: Stephan Louis from Pexels
Dua haiwan yang sangat ditakuti kebanyakan orang Islam ialah haiwan yang dihukumkan sebagai najis mughalazzah dalam Islam.
Anjing adalah salah satu daripadanya yang paling ditakuti, selain babi, apa jua kisah mengenai haiwan ini tiada yang tertarik bagi penulis, tetapi sewaktu membaca satu catatan bertajuk `Amin Dalam Kenangan` di FB Malaysia Negaraku, berderai pula air mata.
Kisah seekor anjing baka Rottweller yang dipelihara untuk menjaga kebun tuannya, sangat disayangi seisi keluarga Islam berkenaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan anjing
Si Rottweller bernama Amin. - Kredit foto: Fb Fizwann
Fizwann Abdul Halim, anak bongsu dari keluarga itu menulis kisah panjang lebar mengenai anjing mereka itu yang dinamakan Amin.
Tulisan Fizwann Abdul Halim dalam FB bertarikh 11 Jun 2021 sempena mengingati pemergian buat selama-lamanya anjing kesayangan keluarga mereka 12 tahun lalu, iaitu sehari selepas bapa mereka (tuan anjing itu) meninggal.
Anjing peliharaan itu dibeli oleh ayah mereka pada 2002 untuk kegunaan menjaga ternakan lembu dan kambing di ladang.
Pada awalnya, tulisan itu biasa-biasa sahaja tetapi makin lama makin menarik, dengan pelbagai peristiwa membabitkan pengorbanan Amin iaitu anjing itu sebagai penjaga harta benda dan nyawa tuan serta keluarga tuannya.
Menurut Fizwann, keluarga berkenaan pernah melalui pengalaman menakutkan apabila ternakan di ladang mereka dirompak yang menyaksikan keluarga itu berhadapan saat-saat yang sangat mencemaskan, apabila ahli keluarga diikat, dipukul dan ditendang.
Peristiwa itulah membawa kepada perancangan si bapa untuk memelihara anjing pengawal bagi melindungi keselamatan di ladang.
Gambar hiasan... Ternakan lembu di ladang. - Kredit foto - Helena Lopes from Pexels
Bahagian yang tersentuh di hati adalah apabila diceritakan bahawa Amin mati sehari selepas tuannya meninggal dunia. Tuannya meninggal kerana sakit tua, manakala anjing itu mati berikutan sangat hiba dan begitu terkesan di atas pemergian tuan kesayangannya buat selama-lama.
Seisi keluarga Fizwann melalui kesedihan yang berganda, sudahlah kehilangan bapa, sehari kemudian turut kehilangan Amin pula, iaitu anjing peliharaan bapa mereka yang begitu banyak jasa.
Menurut Fizwann lagi, abang-abangnya juga cukup sayang pada Amin.
"Amin adalah anjing rotweller yang cerdik. Hormat pada ayah , ibu dan abang-abang saya. Selagi ibu dan ayah saya serta abang-abang saya tak benarkan Amin keluar dari ladang ternakan, selagi itulah Amin akan tinggal di bangsal ladang.
Seperti itu juga sekiranya ayah dan ibu memberikan makan kepada Amin, selagi ayah atau ibu tak bacakan "Bismillah", Amin tidak akan makan makanan di hadapannya.
Amin, anjing Rotweller dibeli ketika usia 2 bulan, dilatih untuk mengawal ladang oleh tuannya, seorang pesara polis. - Kredit foto: FB Fizwann Abdul Halim
Amin seolah-olah tahu dan faham akan hukum halal dan haram dalam ibadah dan pekerjaan.
Amin tidak pernah memasuki kawasan rehat dan surau dalam ladang ternakan ayah. Surau dan bilik rehat itu dibina untuk pekerja di ladang ternakan ayah.
"Malah, Amin tidak pernah sekali menjilat kaki atau tangan atau muka ayah, ibu dan abang termasuk pekerja-pekerja di ladang itu. Sikapnya baik, cerdas , cerdik dan lincah serta mampu menjaga ternakan lembu dan kambing dalam jumlah yang besar," tulis Fizwan.
Untuk menghayati kisah Amin dan keluarga itu sehingga timbul rasa sedih, bacalah keseluruhan catatan Fizwann di link yang diberi, https://www.facebook.com/photo/?fbid=114554767502775&set=gm.303231804861057. - KitaReporter
Hachiko... Kisah anjing yang setia menanti tuannya di Jepun. - Kredit foto: Internet