SIK Choon Foo (kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam kereta dipandu lelaki di IPD Gua Musang hari ini. Kredit foto: Utusan Online
SEORANG lelaki sanggup menipu permohonan permit rentas negeri dengan alasan menziarahi ibu di Kedah, tetapi menyalahgunakan kebenaran itu dengan perbuatan yang salah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun helah lelaki berusia 38 tahun itu terbongkar
dalam satu sekatan jalan raya ketika sedang menyeludup kira-kira 160 kilogram
daun ketum untuk dibawa masuk ke Kelantan, pada 6 April 2021 lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo
berkata, hasil pemeriksaan menemukan 16 bungkusan plastik hitam berisi daun
ketum dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu oleh suspek.
Hasil siasatan lelaki itu mengaku sudah tiga kali berulang
alik antara Kelantan dengan Kedah demi upah sebanyak RM1,500.
“Transaksi pembelian daun ketum itu dilakukan sebanyak
tiga kali dalam sebulan untuk dihantar kepada seorang wanita tempatan untuk
pasaran sekitar Kota Bharu.
“Siasatan mendapati suspek telah memohon permit rentas negeri di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kelantan dengan alasan palsu ingin menziarahi ibunya yang sakit di Kedah.
Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek yang
memandu bersendirian menerima bekalan daun ketum terbabit daripada seorang lelaki
dari Kuala Nerang, Kedah untuk dibawa pulang ke Kelantan.
“Selepas tiga kali berjaya melepasi sekatan, lelaki
itu tidak bernasib baik kali ini apabila ditahan oleh polis. Kita masih mengesan
identiti lelaki Siam dan wanita tempatan yang didedahkan suspek,” katanya di Kelantan yang
dipetik oleh Utusan Online, pada 9 April 2021.
Choon Foo menambah, hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan reman sehingga 11 April 2021 ini bagi membantu
siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952. - KitaReporters