Ebit Lew mengagihkan makanan nasi tomato kepada golongan miskin di Kuala Lumpur untuk berbuasa puasa. - Kredit foto: FB Ebit Lew.
AKTIVIS masyarakat, Ustaz Ebit Lew merupakan individu popular yang sering membantu golongan susah kerana kemiskinan dan mereka yang ditimpa musibah berpunca daripada fenomena alam sama ada kebakaran, ribut dan sebagainya.
Beliau bukan sahaja berbakti membantu golongan berkenaan di Malaysia tetapi merentas benua hingga ke Afrika Selatan dalam usaha membantu golongan yang memerlukan di sana.
Misi beliau hanya untuk membantu golongan berkenaan tanpa mengira keturunan dan anutan agama. Apa yang penting baginya mereka yang menghadapi masalah kemiskinan atau ditimpa musibah perlu dibantu supaya mereka dapat menikmati kehidupan seperti sedia kala.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ebit Lew
Mak cik peniaga yong tau fu menceritakan detik ribut dan hujan lebat semasa beliau berniaga di Bazar Ramadan Wangsa Maju kepada Ebit Lew.
Sempena Ramadan Al-Mubarak kali ini, tugas bakti pendakwah berkenaan membantu individu memerlukan terus berjalan sama ada yang miskin, gelandangan mahupun mereka menjadi mangsa fenomena alam.
Dalam usahanya membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur, Ebit Lew membeli borong nasi beriani dan nasi tomato untuk 300 orang dari beberapa buah kedai dengan membawa sekali periuk yang masih panas ke kawasan di mana golongan berkenaan tinggal untuk berbuka puasa pada Rabu 14 April 2021.
Yang mengharukan beliau, sebaik sahaja membuka bahagian belakang kereta dan menyenduk makanan untuk mereka, semua beratur dan berbaris panjang termasuk ada membawa anak kecil serta mereka yang uzur.
Malahan ada juga diberi makanan berkenaan di tempat bilik sewa mereka dengan keadaan bilik kecil keluarga ramai dan kemudahan tandas berkongsi di luar. Nasib berbeza bagi setiap orang.
Tapi beliau rasa bersyukur dan tenang semua panggil dia ustaz dan bertanyakan khabar sambil mengucapkan terima kasih dengan sunguh-sungguh.
Salah seorang gelandangan menerima sepiring nasi tomato daripada Ebit Lew ketika beliau menjamu untuk berbuka puasa kepada golongan miskin di Kuala Lumpur.
Ada antara mereka meminta makanan lebih untuk diberikan kepada isteri yang uzur berkerusi roda dan anak ramai. Semua gembira walaupun ramai tetapi cukup dan saiz ayamnya pun besar. Tak sampai 40 minit, nasi dan lauk untuk 300 orang habis menjelang maghrib.
Team Ebit Lew semua gembira dapat berbuka puasa bersama gelandangan dan orang susah di jalanan, sebahagiannya makan atas lantai dan tepi jalan.
Sementara itu, beliau juga membeli tujuh buah kanopi untuk disumbang kepada peniaga yang ditimpa musibah akibat ribut kencang dan hujan lebat di Bazar Ramasan Wangsa Maju beberapa hari lalu.
Ebit Lew mendengar masalah yang diluahkan oleh seorang mak cik yang berniaga di Bazar Ramadan Wangsa Maju.
Dalam kejadian lewat petang 13 April 2021 itu, tujuh buah kanopi milik peniaga berkenaan patah dan musnah kerana angin kencang disertai hujan lebat pada hari pertama umat Islam menyambut Ramadan.
Mereka juga diberikan sedikit wang untuk meneruskan perniagaan yang terjejas disebabkan musibah berkenaan.
Ebit juga memborong makanan dari tiga buah kedai berhampiran untuk menjamu para peniaga di Bazar Ramadan tersebut berbuka puasa.
Dengan keadaan setiap petang hujan, tidak ramai orang berkunjung membeli belah juadah berbuka di bazar tersebut tetapi disebabkan kerana rezeki halal mereka tetap menunggu kehadiran pelanggan.
"Tengok makanan yang banyak, sedih rasanya tetapi adat berniaga terpaksa juga diteruskan hingga sampai waktu berbuka. Didoakan semua peniaga bazar diberkati dan dimudahkan Allah," ujar Ebit. - KitaReporters
Orang ramai berbaris menunggu giliran mendapatkan nasi beriani atau nasi tomato yang diagihkan oleh team Ebit Lew (atas). Aktivis masyarakat berkenaan turut menyampaikan sumbangan kanopi kepada salah seorang peniaga di Bazar Ramadan Wangsa Maju yang ditimpa musibah hingga rosak teruk kanopi jualan beliau (bawah).
Salah sebuah kanopi milik peniaga di Bazar Ramadan Wangsa Maju yang rosak teruk semasa ribut dan hujan lebat yang berlaku pada Selasa 13 April 2021 iaitu hari pertama umat Islam mula berpuasa.