Seni & Sukan 24 Aug, 2019

KONSERT 'SELAMAT TINGGAL' NASH DI ISTANA BUDAYA OKTOBER INI

@muzlina abu bakar
Berkerja di Utusan Melayu (Malaysia) Berhad selama 35 tahun dan 32 tahun daripadanya bertugas sebagai wartawan hiburan. Bersara dari Utusan 2013 sebagai Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia/Pancaindera.

Share this
PENYANYI rock yang tidak asing lagi, Nash akan mengadakan 'konsert selamat tinggal pada dunia seni' sempena ulangtahun kelahirannya yang ke-60 pada Oktober ini.

Konsert tersebut yang akan menutup diari perjalanan seninya selama 43 tahun akan diadakan di Istana Budaya selama tiga malam.

Konsert yang akan diiringi oleh sebuah orkestra itu, selain menampilkan Nash sebagai penyanyi utama, tiga artis akan diundang untuk mewarnai konsert ini.

Bagaimanapun buat masa ini rundingan antara Nash dengan pihak Istana Budaya (IB) masih belum menetap tarikhnya.

"Perbincangan antara saya dengan pihak IB masih diteruskan dan setakat ini, kami belum menetapkan tarikhnya.

"Bagaimanapun apa yang pasti, konsert itu akan diadakan selama tiga malam pada Oktober ini.  

"Saya juga akan mengundang mereka di sebalik kejayaan saya seperti penerbit album, penulis lirik kerana konsert ini juga sebagai penghargaan mereka di sebalik kejayaan saya dan Lefthanded," kata Nash.

Datuk Jamaludin Elias atau lebih dikenali Nash itu, memberitahu selepas konsert tersebut beliau akan menumpukan perhatiann kepada perniagaannya dan kerja-kerja amal.

"Jika selepas Oktober ini saya diundang menyanyi, saya akan hanya akan muncul pada konsert amal sahaja," tegas Nash.

Dari kiri: Nash, Man Kidal, Allahyarham Samad, Allahyarham Man Dayak dan Yan.


Nash bersama Lefthanded memulakan kerjaya mereka di kelab malam di Johor dan KL sejak tahun 1976.

Selain Nash, Lefthanded turut dianggotai oleh Man Kidal, Yan, Samad dan Man Dayak dan mereka mula mewarnai dunia seni tempatan pada 1979 di bawah syarikat rakaman Warnada.

Lefthanded kehilangan dua ahli kumpulannya apabila Samad (gitar) meninggal pada 23 Oktober 2008 dan Man Dayak (dram) meninggal pada 15 Mac 2016.

Selama sembilan tahun bersama, Lefthanded telah menghasilkan enam album antaranya "Keadilan" "Seruan" dan "Qabul."

Pada tahun 1988, Nash meninggalkan Lefthanded untuk bergerak secara sendirian dan muncul dengan tiga album solo dengan album pertamanya "Pada Syurga di Wajahmu" dan diikuti dua album lagi iaitu, "Zahir Tak Terucap" dan "Nash 1993."

Selepas muncul dengan tiga album solo, Nash menggangotai Lefthanded semula sehingga hari ini.

Dari kiri: Allahyarham Man Dayak, Yan, Nash, Allahyarham Samad dan Man Kidal.

0
3
0
0
0
You will be interested