Seni & Sukan 24 May, 2022

Keluarga Malaysia: Pesara Terengganu lancar tabung Kita Bantu Kita! Bagi bantu ahli dan komuniti!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this



PERSATUAN Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Bahagian Negeri Terengganu, telah melancarkan tabung kebajikan untuk membantu ahli-ahlinya yang menghadapi masalah dan ditimpa bencana.

Yang Dipertuanya, Datuk Sayed Abu Bakar Abdullah berkata, penubuhan tabung berkenaan sebahagian usaha persatuan untuk membantu ahli-ahli dan juga komuniti yang memerlukan bantuan ketika menghadapi kesusahan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan golongan pesara

Sebahagian ahli perwakilan PPKM yang hadir pada Mesyuarat Agung PPKM Terengganu Kali Ke 30 di Wisma Darul Iman


Katanya, penubuhan tabung yang dikenali sebagai “Kita Bantu Kita” dengan kaedah ahli yang menerima pencen bulanan lebih RM1,000 sebulan akan menyalurkan sumbangan secara sukarela kepada tabung tersebut.

Katanya, ahli-ahli yang bersetuju dengan sumbangan itu dikehendaki mengisi borang persetujuan dan membenarkan sumbangan mereka dipotong melalui akaun bank masing-masing.


Sayed Abu Bakar Abdullah


“Bagi mereka yang menerima pencen bulanan bawah RM1,000 sebulan tidak perlu menyertai program tersebut, tetapi jika ada yang berhasrat untuk menyumbang secara sukarela adalah digalakkan,” kata Sayed Abu Bakar, pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PPKM Kali Ke-030 di Wisma Darul Iman pada 21 Mei 2022.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Yahya Ali merasmikan mesyuarat agung tersebut.


Yahya Ali (dua dari kiri) ketika tiba di Wisma Darul Iman untuk merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PPKM Terengganu


Sayed Abu Bakar berkata, PPKM Negeri Terengganu yang ditubuhkan pada 24 September 1972 kini mempunyai 3,000 ahli dari seluruh negeri itu. 

Katanya, keahlian persatuan itu terbuka kepada semua pesara kerajaan negeri dan pusat daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan tanpa mengira status jawatan ketika mereka berkhidmat sebagai penjawat awam. 


Perwakilan sedang  menyanyikan lagu  rasmi Pesara


Sayed Abu Bakar berkata, penubuhan tabung itu amat perlu kerana ia dapat mengukuhkan kewangan persatuan dalam usaha membantu ahli ketika ditimpa kesusahan.

“Ini kerana ada sebahagian ahli terutama pesara GLC menerima pencen yang agak rendah iaitu antara RM200 hingga RM500 sebulan,” katanya.

Katanya, dalam keadaan sekarang agak sukar kepada mereka untuk menyara hidup keluarga dan perlu dibantu jika ada antara mereka yang ditimpa musibah. - KitaReporters


 

12
18
0
13
0
You will be interested