Seni & Sukan 24 Oct, 2020

Cef santuni warga emas! Masak menu PKP hotel 5 bintang Mekah

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ibarat satu hikmah kepada Noor Hisham Ismail, 52, apabila berpeluang untuk berbakti kepada warga emas yang terbiar dan disisih keluarga di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor. Beliau pernah bertugas sebagai Seniou Sou Chef di Hotel Hilton Convention Jabal Omar Mekah selama lebih tiga tahun. : KitaReporters



Noor Hisham Ismail sedang menyiapkan menu makan tengah hari di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. 


Lagi cerita-cerita berkaitan cef:

https://kitareporters.com/search?search=cef


Noor Hisham terpaksa pulang ke tanah air apabila wabak Covid-19 menular di Mekah pada 10 April 2020 lalu.  Dia dikuarantinkan selama 14 hari di sebuah hotel di Putrajaya sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya di Cheras, Selangor. 

Ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, Noor Hisham terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kos hidup termasuk sebagai penghantar makanan di Petaling Jaya (PJ).

Bimbang keselamatan ketika menunggang motosikal dia menerima pelawaan untuk berkhidmat secara sukarela sebagai cef di pusat jagaan berkenaan yang pada ketika itu menghadapi masalah mencari tukang masak bagi menyediakan makanan untuk 50 penghuni di situ mulai awal September 2020 lalu.


Noor Hisham memeriksa bahan mentah seperti sayur-sayuran yang disimpan dalam peti sejuk beku.


Noor Hisham berkata, dengan menggunakan segala pengalaman dan pengetahuan sebagai seorang cef selama 23 tahun di sebuah hotel terkemuka di PJ dan di Mekah itu dia mendedahkan kaedah dan cara yang betul mengendalikan dapur walaupun hanya sebuah pusat jagaan warga emas.

Menurutnya, Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan di dapur seperti kebersihan makanan, cara menyimpan stok makanan di dalam peti sejuk beku supaya senantiasa segar bersesuaian dengan diet penghuni di situ yang menghidap pelbagai penyakit dititikberatkan.


Beberapa menu negara Arab turut disediakan Noor Hisham sebagai memenuhi permintaan penghuni di pusat jagaan berkenaan. 


Katanya, dia juga dapat mendalami ilmu penyediaan makanan untuk pesakit tertentu seperti mana dilakukan oleh petugas di dapur hospital termasuk dari segi sukatan penggunaan santan, gula, garam dan sebagainya yang ditunjukkan oleh sukarelawan bekas jururawat di pusat itu.

Beliau berkata, kesempatan sebagai cef di pusat itu dia turut memperkenalkan beberapa menu dari negara Arab kepada penghuni untuk dinikmati seperti sup atau kari daging dan ayam serta sayur-sayuran yang memberi diet berkualiti untuk mereka.


Noor Hisham menagihkan sendiri makan tengah hari kepada penghuni sambil bertanya khabar.


“Kadang-kadang saya bertanya kepada penghuni ketika mereka makan tengah hari mengenai menu yang mereka ingin nikmati untuk hari esok bagi mengelak berasa jemu dan bosan apabila dihidangkan lauk yang berulang setiap minggu.

“Seperti baru-baru ini saya menghidangkan menu ikan bakar dan disambut gembira semua penghuni kerana sudah lama mereka tidak menikmati lauk berkenaan, keadaan itu menyebabkan rasa sebak di hati saya kerana dapat menyempurnakan keinginan warga emas terbabit,” katanya.


Senior Sous Cef Hotel Hilton Convention Jabal Omar Makkah,  Noor Hisham Ismail  


Noor Hisham berkata, dia kini sedang menunggu panggilan daripada hotel bertaraf lima bintang di Mekah itu untuk kembali bertugas apabila umat Islam kini diberi keizinan untuk mengerjakan umrah dengan mematuhi SOP Covid-19 yang ketat.

“Apabila kembali semula ke Mekah saya berharap petugas di dapur pusat jagaan ini dapat mematuhi SOP mengendali dan menguruskan makanan seperti saya tunjuk ajarkan kepada mereka demi kesejahteraan kesihatan penghuninya.


Noor Hisham senantiasa bertabah dan sabar melayani karenah warga emas.


“Penghuni di sini terlalu sensitif dan mereka perlu dilayan dengan lemah lembut terutama ketika menikmati menu yang disediakan supaya proses rawatan kesihatan mereka tidak terjejas apabila terpaksa makan ubat mengikut waktu ditetapkan,” ujarnya. 

Noor Hisham berkata, menolak hidangan yang disediakan kadang-kadang berlaku kepada sesetengah penghuni apabila menu disediakan tidak menepati kemahuan mereka dan terpaksa saya menyediakan lauk lain yang membuka selera warga emas terbabit berdasarkan bekalan bahan mentah yang ada,” katanya.


Noor Hisham melayan penghuni ibarat menyantuni ibu bapa di rumah. 


“Saya sedikit pun tidak berkecil hati dengan sikap mereka malah berasa terkilan apabila tidak dapat menyediakan menu yang diminta kerana warga emas ini ibarat emak atau bapa kita yang perlu santuni dengan baik,” katanya. - KitaReporters

19
0
1
0
0
You will be interested