Seni & Sukan 01 Jul, 2022

Tahniah! Anak-anak istimewa tunjukkan bakat tersendiri! Meriahkan acara Karnival Jom PDK Ku Sihat!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil.

Share this

Sekumpulan remaja dan kanak-kanak istimewa menyertai acara tarian sempena Karnival Jom PDK Ku Sihat yang berlangsung di Star Avenue Lifestyle, Shah Alam pada 18 Jun 2022. - Kredit foto: PPDK Sinar Harapan.


SEKUMPULAN kanak-kanak istimewa tampil menunjukkan bakat masing-masing dalam penganjuran Karnival Jom PDK Ku Sihat yang berlangsung di pusat beli-belah Star Avenue Lifestyle, Shah Alam baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sinar Harapan, Latifah Ahmad berkata, program yang diadakan pada 18 Jun 2022 lalu itu berjaya mencapai objektif penganjuran dalam usaha mengetengahkan kelebihan anak-anak syurga tersebut.


Seorang kanak-kanak lelaki istimewa terlibat dalam acara pertunjukan fesyen.


"PPDK Sinar Harapan merupakan sebuah pusat rehabilitasi bagi membantu anak-anak istimewa untuk belajar kemahiran bagi menjalani aktiviti kehidupan seharian dengan memberi latihan asas, fisioterapi, belajar cara bersosial agar mudah diserap di alam pekerjaan apabila besar kelak

"Alhamdulillah, pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan termasuklah persembahan nyanyian dan pertunjukan fesyen daripada anak-anak istimewa ini. Selain itu, terdapat 21 kaunter saringan kesihatan percuma turut dibuka untuk para pengunjung. 

"Tidak ketinggalan, terdapat juga kaunter perkhidmatan peluang pekerjaan bersama McDonalds Subang Bistari selain aktiviti permainan indoor," ujar Latifah kepada KitaReporters.


Kaunter saringan kesihatan percuma turut dibuka sempena penganjuran karnival tersebut.


Tambah beliau, penganjuran karnival berkenaan merupakan salah satu kejayaan terbesar PPDK Sinar Harapan dengan kerjasama banyak pihak. 

Walaupun berdepan banyak cabaran terutama dalam mengawal gelagat dan anak-anak istimewa yang kebanyakannya adalah Sindrom Down, namun dengan kerjasama yang sangat baik daripada ibu bapa dan para pelatih PPDK Sinar Harapan, majlis berlangsung dengan penuh meriah.

Salah seorang AJK Program, Zubaidah Mohd Yusof memberitahu, sambutan yang diterima daripada masyarakat sekitar sangat menggalakkan pada karnival tersebut.

"Walaupun dirancang dalam masa yang singkat, tetapi kami sangat bersyukur kerana maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa dan masyarakat di kawasan ini sangat positif. 

"Ini menunjukkan keluarga yang memiliki anak-anak syurga lebih bersikap terbuka dan saling menyokong antara satu sama lain.

Daniel (kiri) yang juga anak istimewa menerima cenderamata daripada Pengarah JKM Selangor, Dr. Zaitol Salleh sambil diiringi Puan Latipah selepas membuat persembahan nyanyian pada karnival tersebut.


"Saya juga turut dianugerahkan Tuhan dengan seorang anak istimewa bernama Daniel. Maka, saya amat memahami perasaan ibu bapa yang teruji dengan ujian sebegini. 

"Apa yang penting, kita terus berusaha menjaga amanah dari Allah dengan sebaik-baiknya kerana siapa tahu mereka yang akan menuntut kita ke syurga-Nya di akhirat kelak," ungkap Zubaidah.


Antara keluarga yang hadir bersama anak istimewa mereka pada program ini. 


Karnival tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah. Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Dr. Zaitol Salleh; Adun Kota Damansara, Shatiri Mansor; wakil Zon MPP, Prakash Rao dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Latifah turut melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada barisan penyelaras JKM Shah Alam, Team Hospital Klang, Muzaffar & pelajar-pelajar UiTM, LPPKN, Star Avenue Life's Style Mall, Team PPDK Mutiara Hati, Team PPDK Sg. Buloh, Team PPDK Milineum, Team Taska Little Leaders serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam karnival ini. - KitaReporters


Zubaidah Mohd Yusof (berdiri di belakang) bersama sebahagian AJK yang bertanggungjawab memastikan kelancaran program.


22
13
1
10
1
You will be interested