
Ia selepas Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.
Setelah rayuan ditolak, denda 350,000 Swiss franc (RM1.9 juta) ke atas FAM turut kekal, begitu juga setiap pemain didenda 2,000 Swiss franc (RM10,411) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Bukan sahaja nasib skuad Harimau Malaya dan tujuh pemain warisan menjadi persoalan susulan perkembangan tersebut, namun impak yang lebih besar ialah masa depan Liga Malaysia (Liga M).

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi mengenai nasib dan masa depan sukan bola sepak Malaysia yang mungkin terlepas untuk beraksi dalam saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Malah lebih buruk, katanya, skuad Harimau Malaya juga mungkin tercicir untuk saingan edisi 2031 dan jika perkara itu berlaku, adakah pasukan kebangsaan hanya akan kembali ke pentas bola sepak paling berprestij di rantau Asia itu pada edisi 2035?
Kemungkinan itu berdasarkan nasib malang menimpa Timor Leste yang tidak dibenarkan terlibat bagi saingan kelayakan Piala Asia 2023.
Ia sebagai hukuman berikutan isu kegagalan sembilan pemain naturalisasi mereka mengemukakan dokumen sah berhubung status kelahiran mereka ketika kelayakan Piala Asia 2019.
Malah, negara di ranking ke-197 dunia itu sebelum ini turut dihukum dengan pembatalan kemenangan, penolakan mata (perlawanan dianggap kalah) dalam ke semua 29 aksi di bawah pengelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Perkara itu berlaku selepas siasatan mendapati sembilan daripada 12 pemain yang lahir di Brazil memalsukan dokumen kelahiran mereka dan tidak mempunyai sama ada ibu atau bapa mereka yang berasal dari Timor Leste.
Selain itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo Sarmento turut digantung selama tiga tahun daripada segala aktiviti bola sepak kerana terlibat dengan proses pendokumentasian tersebut.

Hannah Yeoh
Sehubungan itu, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajui Hannah Yeoh mahu menguruskan hal ini dengan berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan oleh kerajaan boleh menyebabkan FAM digantung oleh FIFA.
"Penggantungan seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan kebangsaan utama, tetapi turut melibatkan semua pasukan bawah umur serta pihak lain seperti Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga M," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa, 4 November 2025.
Tindakan campur tangan tersebut akan menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan.Hannah turut mengimbas mengenai sejarah bola sepak antarabangsa apabila beberapa negara telah berdepan tindakan penggantungan oleh FIFA akibat campur tangan kerajaan.
Ia termasuk Indonesia (2015) yang digantung selama setahun selepas Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia membekukan persekutuan bola sepak negara itu dan terhadap Zimbabwe (2022) selepas badan dilantik kerajaan mengambil alih pentadbiran persekutuan bola sepak negara.
Turut menerima nasib sama ialah Chad (2021) apabila kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk menguruskan bola sepak negara; serta Benin (2015) dan Brunei (2009) yang turut digantung kerana keputusan mahkamah dan kerajaan masing-masing mencampuri urusan pentadbiran persatuan bola sepak.

Kes ini masih panjang untuk ditempuh dan FAM menerusi Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi meluahkan komitmen untuk membawanya ke CAS.
"Kesemua contoh ini menunjukkan bahawa FIFA tegas dalam menegakkan Statut 15(c) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan.
"Prinsip ini menjadi asas kepada keanggotaan mana-mana negara di bawah FIFA," ujar Hannah.
Justeru beliau memberitahu bahawa KBS menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
"Hasil siasatan ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah-langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dipatuhi FAM," katanya.
Tambah beliau, KBS akan terus seimbangkan antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara, dengan memastikan FAM memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti bola sepak Malaysia.

Nasib tujuh pemain warisan itu turut menjadi bualan warganet dalam media sosial termasuk langkah Garces mengorbankan karier La Liga demi Malaysia.
Persoalan timbul adakah pengorbanan pemain pertahanan itu untuk menyarung jersi Harimau Malaya berbaloi, jika kariernya di Eropah kini musnah sekelip mata?
Pemain kelahiran Argentina itu, yang sebelum ini beraksi bersama kelab La Liga, Deportivo Alaves kini bukan sahaja kehilangan peluang untuk beraksi bersama Harimau Malaya, malah berisiko menamatkan kariernya di Eropah lebih awal daripada dijangka.

Namun di sebalik persoalan ini, pengerak revolusi Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim kekal optimis.
Malah baginda secara sinis menegur sikap 'dua alam' segelintir peminat bola sepak tempatan yang dilihat bersikap hipokrit terhadap tindakan dan keputusan yang dibuat FIFA.
“Apabila FIFA tidak menggantung (mengharamkan) Israel, semua orang bising dan mengutuk FIFA pelbagai cara. Namun apabila FIFA menggantung pemain Malaysia, kamu pula memuji dan mengagungkan FIFA. Inilah contoh terbaik sifat hipokrasi,” titah baginda.
Pemangku Sultan Johor itu turut mendakwa FIFA menjatuhkan hukuman ke atas pemain tanpa menggunakan peruntukan undang-undang sebenar.
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga menyifatkan hukuman berkenaan sebagai tidak berasas dan kelihatan lebih bermotif politik.
Justeru baginda menyokong penuh perjuangan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini akan diteruskan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"FIFA terus menghukum pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada pemain.
"Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat 'bermotif politik' berbanding sebab yang sebenar.
"Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan habis-habisan demi pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS, sebuah badan bebas," titah baginda. - KitaReporters