Seni & Sukan 29 Dec, 2021

Keluarga Malaysia ringan tulang! Bergabung tenaga bantu mangsa banjir! Kerjasama di Sungai Lui!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this



DATANG tidak dijemput, bertemu secara kebetulan, namun beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan membentuk kesepakatan apabila turun serentak membantu enam keluarga mangsa banjir di Kampung Batu 21 Sungai Lui, Selangor, pada 26 Disember 2021 lalu.

Ibarat satu Keluarga Malaysia mereka menyantuni dengan bekerjasama melakukan kerja pembersihan lumpur, pinggan mangkuk, memindahkan pelbagai barangan yang rosak dan sebagainya bagi meringankan bebanan keluarga mangsa terbabit.

Sukarelawan NGO Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Beranang dan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih hadir dengan membawa peralatan bagi membersihkan lumpur di atas jalan dan kenderaan penduduk khususnya motosikal yang ditenggelami banjir.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Keluarga Malaysia


Ahli NGO dan sukarelawan PJMM, PJNH dan kumpulan pelajar dari Putrajaya membersih pinggan mangkuk penduduk yang diseliputi lumpur.


Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado, berkata sebaik sahaja dia sampai bersama-sama sukarelawan PJMM itu, mereka terus menggunakan generator untuk menyedut air dari sungai berdekatan bagi membersihkan lumpur di atas jalan laluan ke rumah keluarga terbabit.

Menurutnya, kerja pembersihan jalan itu secara tidak langsung memudahkan pelbagai NGO lain yang turut hadir untuk agihkan barangan keperluan asas kepada keluarga terbabit apabila rumah mereka ditenggelami banjir sampai ke paras bumbung rumah.

“Bagi sukarelawan wanita dari PJNH  dan PJMM mereka menyertai beberapa sukarelawan wanita dari Putrajaya untuk membersih pinggan mangkuk dan perkakas dapur penduduk yang diseliputi lumpur,” katanya.


Ahli NGO Ikram menyumbangkan barangan keperluan asas seperti bantal, tilam, toto, selimut dan sebagainya untuk keluarga mangsa banjir terbabit.


Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman,  berkata banyak perkakas rumah keluarga terbabit mengalami kerosakan teruk apabila diseliputi lumpur seperti peti ais, televisyen, perabot, tilam dan pakaian terpaksa dibuang begitu sahaja.  

Menurutnya, dengan kerja secara bergotong-royong bersama sukarelawan dari PJMM, PJNH serta perseorangan yang datang secara berkumpulan memunggut pinggan mangkuk dan barangan dapur untuk dibuang lumpur terlebih dahulu sebelum dibersihkan.

Ahli Jawatankuasa NGO Ikram Kawasan Ulu Langat, Khairul Zit, berkata dia bersama-sama 20 ahli datang menyantuni keluarga terbabit untuk mengagihkan barangan seperti bantal, toto, selimut serta lampin pakai buang dan  tidak menjangka akan bertemu dengan NGO dan sukarelawan lain di situ.

“Sumbangan barangan ini merupakan kerja amal kebajikan kami NGO Ikram bagi membantu keluarga yang ditimpa musibah di mana sahaja mereka berada khusus di kawasan Ulu Langat yang begitu tertekan dengan bencana banjir luar jangkaan,” katanya.


KHAIRUL ZIT


Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang, Selangor, Isnin Jufri, berkata dia berasa terharu dapat menyertai NGO lain seperti dari PJMM dan PJNH untuk bekerjasama bagi membantu keluarga terbabit membersihkan kawasan rumah yang dipenuhi lumpur.

Menurutnya, dia berasa kagum dengan beberapa kumpulan sukarelawan anak muda yang hadir untuk menghulurkan bantuan kepada NGO dan keluarga terbabit melakukan kerja-kerja pembersihan lumpur, mengumpul  barangan rosak dan sebagainya.

Bagi Muhd Syafiq Kamarul Ariffin dari Dato Keramat, Kuala Lumpur, berkata dia bersama-sama rakan yang merupakan dalam kalangan saudara mara sudah tiga hari berlegar-legar di Ulu Langat bagi melakukan kerja amal jariah membantu mangsa banjir.

“Antara kami ini ada yang masih belajar di kolej dan universiti bersepakat untuk turun padang bagi membantu NGO dan pelbagai pihak yang bertungkus lumus setiap hari menolong mangsa banjir di beberapa kampung sekitar Ulu Langat yang terjejas turut ditimpa banjir,” katanya.


Mohiadin (kiri) dan sukarelawan PJMM, Mama Mila membantu sukarelawan wanita membersih pinggan mangkuk.


Salah seorang mangsa banjir daripada ahli keluarga terbabit, Asiah Othman, berkata dia begitu terharu melihat kedatangan NGO dan sukarelawan terbabit membantu beliau dan keluarga lain membersih pelbagai barangan yang diseliputi lumpur. 

Menurutnya, dia dan ahli keluarga sudah penat ditambahi lagi berasa amat sedih apabila melihat banyak kerosakan kesan daripada limpahan air sungai dengan arus deras membadai rumah yang menyebabkan barang dihanyut jauh dari rumah serta dipenuhi lumpur.

Bagi seorang lagi mangsa banjir, Isa Ali, berkata arus deras berserta hujan lebat pada malam Sabtu 18 Disember 2021  itu menyebabkan penduduk tidak mampu berbuat apa-apa selain menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung rumah apabila air sungai naik dengan cepat.

“Alhamdulillah kami enam keluarga di sini selamat daripada bencana ini dan berasa bersyukur apabila pelbagai pihak NGO, sukarelawan termasuk agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia datang menghulurkan bantuan dan mengagihkan barangan keperluan,” katanya. - KitaReporters


Ahli NGO dan sukarelawan PJMM, PJNH dan Kelab Sukarelawan Hospital Kajang membersihkan lumpur di atas jalan di Kampung Batu 21, Sungai Lui, Semenyih, Selangor.


Azman (kiri) dan Mohiadin menyerahkan sumbangan bantuan banjir PJMM dan PJNH kepada Asiah.


Timbalan Pengerusi Madrasah Al Jama'iah Batu 23, Sungai Lui, Ismail Daud (dua dari kiri) menerima sumbangan bantuan banjir PJMM dan PJNH.

37
12
0
11
2
You will be interested