Seni & Sukan 19 Dec, 2021

Ragam banjir! Buaya naik ke darat! Zaiton Sameon duduk di bumbung! Pengantin jalan atas kerusi!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


Di mana-mana saja ada banjir


Di Linggi, Negeri Sembilan seekor buaya darat kelihatan 'berlarian' di atas sebuah jambatan sambil pergerakannya dikawal oleh pasukan keselamatan agar haiwan itu tidak dilanggar oleh kenderaan. 

Manakala di Shah Alam ada anak anak ayah kelihatan sabar duduk di atas bumbung sementara menunggu pasukan penyelamat bencana alam datang menyelamatkan mereka.

Nilam Rahmad dalam muat naik dalam TIkTok tentang kisah dua beranak yang kesejukan berbual di atas bumbung beratapkan abastos yang mungkin berbahaya keselamatan mereka sambil berkata,"Kita rasa kita paling teruk, kawan aku atas bumbung sekarang, di Seksyen 22 Shah Alam."


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan banjir




Begitu juga dengan gelagat pengantin baru yang terperangkap dalam kenderaan dan sepasang lagi yang berjalan di atas kerusi yang disambung menuju ke majlis kenduri mereka untuk menggelakkan pakaian pengantin dibasahi air banjir, turut mencuit hati netizen. 



Dan paling sebak untuk diingati oleh pelayar TikTok ialah apabila melihat kerusi meja di majlis kenduri seorang lagi pengantin itu, berselerakan kerana khemah roboh ditimpa hujan dan ribut. 

Dan apapun yang terjadi, seorang wakil tuan rumah tetap masih boleh tersenyum gembira meskipun bekas lauk pauk turut dimasuki air dan tetamu pula tetap selamba berusaha untuk menceriakan kenduri berkenaan.



Ini sebahagian gambaran daripada TikTok, ketika negara dilanda banjir besar, apabila hujan tidak berhenti sejak tiga hari lalu, memburukkan keadaan apabila beberapa taman perumahan ditenggelami banjir.

Ada sesetengah orang melihat waktu sulit ini boleh diredakan dengan gelagat lucu. Ini termasuk seorang anak muda siap menyanyikan lagu dipetik dari filem Bawang Putih, Bawang Merah pada zaman arwah P Ramlee apabila ruang tamu rumahnya ditenggelami air dan perabotnya habis basah.



Banjir kilat menyebabkan beberapa tempat termasuk di Shah Alam dan Klang dilaporkan kawasan paling teruk terjejas ditenggelami bah kerana berhampiran laut. Kawasan terbabit termasuk Telok Gong, Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.

Jabatan Meterologi (MetMalaysia) semalam Sabtu, 18 Disember 2021 melaporkan fenomena ombak besar yang berlaku menyebabkan air laut naik sehingga empat meter dan melimpah menyebabkan kawasan rendah terdedah kepada banjir kilat.



Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar tergempar pada 18 Disember 2021 tadi memberitahu, kerajaan sudah mengarahkan semua pasukan terbabit membantu bencana alam termasuk tentera, polis, pasukan pertahanan, bomba dan sukarelawan bertindak segera membantu rakyat di seluruh negara.

Beliau turut memberitahu, banjir kilat teruk yang melanda Lembah Klang, tidak dijangka kerana kerajaan lebih menumpukan persiapan bantuan ke negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan dan Terengganu yang selalu mengalami banjir pada musim tengkujuh ini.



"Bagaimanapun Selangor kelam kabut sikit kerana banjir berlaku  secara mengejut dan setakat ini kerajaan sudah membuka 45 pusat pemindahan dan menampung lebih 3,000 mangsa. 

"Tumpuan kerajaan sekarang ialah menyelamat dan memastikan mangsa mendapat keperluan perubatan dan makanan dengan segera," katanya dalam laporan sidang akhbar yang disiarkan menerusi portal berita Malaysia Gezette semalam.

Kerajaan pada masa ini mahu menyelamatkan segera mangsa yang terperangkap dalam banjir walaupun ada lokasi penghuni agak jauh dan ada yang terus menghubungi pusat bantuan. 

Kerajaan sudah menghantar bomba dan penyelamat sebab ada yang mengadu kesejukan, sakit dan terputus bekalan makanan.

Kerajaan juga sudah mengarahkan pasukan tentera, polis, sukarelawan dan anggota bantuan di Selangor bersiap sedia untuk membantu banjir ini yang tidak dapat diramalkan sampai bila kerana hujan masih berterusan.



Sementara itu, penyanyi legenda negara, Zaiton Sameon yang pernah mencetuskan kontroversi di masa muda kerana menyanyi dalam air kelihatan seperti mengulang kembali memorinya dengan menyanyi lagu sambil duduk di atas bumbung ketika diselamatkan oleh anak angkatnya Ika.



Zaiton, 64, yang terkenal dengan lagunya, Menaruh Harapan hari ini melagukan Kabut Serangkai Mawar kelihatan begitu santai dan dilaporkan menarik tarikan yang luar biasa.

Kata Zaiton, dia ke rumah adik angkat di Kapar, Klang. Dia terpaksa dipindahkan ke pusat bantuan kerana kawasan berkenaan ditenggelami air. - KitaReporters


11
12
0
10
0
You will be interested