HULU Terengganu tidak hanya menjadi satu-satunya daerah di Terengganu yang masih sifar kes COVID-19 sehingga kini, tetapi boleh dikategorikan juga daerah paling patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana belum ada sebarang tangkapan dibuat akibat ingkar arahan : KitaReporters
Kredit foto: FB @ipdhtrg (https://www.facebook.com/ipdhtrg/)
Sedia maklum, kerajaan melaksanakan penguatkuasaan PKP bagi mengelak penularan wabak Covid-19 bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi Fasa I dan diteruskan PKP Fasa II pada 1 April hingga 14 April 2020.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan penguatkuasaan dalam usaha memastikan masyarakat patuh untuk #duduhrumah termasuk melakukan sekatan jalan raya.
Bagi negeri Terengganu, Hulu Terengganu satu-satunya daerah yang merekodkan tiada sebarang tangkapan sehingga kini akibat ingkar arahan.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, polis telah menahan 85 individu kerana ingkar arahan sepanjang tempoh PKP dengan daerah Kemaman merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 32 orang.
Siaran media daripada Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berhubung perkembangan terkini PKP di negeri berkenaan.
"Ia diikuti daerah Kuala Terengganu (20 orang), Besut (13 orang), Marang (11 orang), Dungun (10 orang) dan Setiu seorang. Sementara itu, daerah Hulu Terengganu belum ada sebarang tangkapan di bawah pelanggaran PKP dibuat.
"Orang ramai juga diminta terus memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan PKP dan tidak keluar rumah berkali-kali tanpa urusan mustahak," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis, 2 April 2020.
Tambah beliau, bagi PKP Fasa II hampir 2,000 pegawai dan anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) digerakkan bagi memantau pelaksanaan PKP termasuk di sekatan jalan raya dan bilik gerakan.
Katanya lagi, kadar pematuhan masyarakat di Terengganu juga dilihat telah meningkat kepada 96 peratus dan orang ramai juga diingatkan agar turut mengikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjaga kebersihan diri.
Daerah Hulu Terengganu masih bebas COVID-19. - INFO GRAFIK OLEH UPDI.
Sementara itu, untuk rekod sehingga jam 5 petang, 2 April 2020 sebanyak 50 kes direkodkan di Terengganu dengan daerah Besut mencatatkan jumlah tertinggi dengan 19 kes.
Seterusnya diikuti Kuala Terengganu (17 kes), Dungun (8 kes), Kemaman (3 kes), masing-masing satu kes bagi Kuala Nerus, Marang dan Setiu, manakala Hulu Terengganu masih kekal daerah bebas Covid-19. - KitaReporters