Budaya 11 Oct, 2019

LUKISAN THE SOUL MANIFESTASI LUAHAN JIWA AMY HASHIM

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: gamalnasir@gmail.com

Share this
SETELAH menamatkan sesi berkarya dan menggantung lukisan di galeri seninya di Subang Jaya, Amy Hashim berkemas dan menutup lampu di ruang studionya.  

Secara tidak sengaja ‘texture” dan bentuk-bentuk alunan jari jemari, ‘palette knife’ dan berus cat tebal di atas kanvas terpapar seperti arca di balik pantulan cahaya yang samar-samar.  

Dari situlah lahirnya nama “The Soul” di mana ia tercetus di sebalik keunikan karya yang menggunakan warna yang berani dan tebal. 

‘Soul’ atau jiwa yang wujud secara semula jadi dan spontan ini lahir dari hati dan rasa yang puas apabila Amy Hashim menghasilkan sesuatu karya.

Amy Hashim membesar dengan minat yang mendalam ke arah bidang seni. Ibu bapa Amy banyak mempengaruhi perjalanan seni Amy di mana bapanya berkhidmat sebagai seorang guru seni dan ibunya sebagai pembuat pakaian wanita. 

Kedua-dua mereka berperanan dalam memberi didikan dan semangat untuk Amy menjadi artis sepenuh masa.

Lahir di sebuah rumah di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1971, Amy membesar sambil menyaksikan sekumpulan pelukis negeri Kelantan itu berkumpul dan melukis di tingkat bawah rumah ibu bapanya. 

Dari situ lah cintanya kepada seni berakar umbi.  

Sebagai seorang pelukis, Amy Hashim mempraktikkan kepelbagaian teknik, pengalaman yang diperolehinya semasa bekerja dan lawatan-lawatan beliau ke luar negara banyak membantu dalam menghasilkan karya.  

Penggunaan jari-jemari dan ‘pallete knife’ mempamerkan struktur visual yang kaya dengan alunan bentuk dan warna dalam konteks semiabstrak. 

Pameran It’s The Soul II ini mempamerkan sejumlah koleksi catan minyak yang penuh berekspresi.  

Subjek flora, fauna dan pemandangan yang dihasilkan memberi impak dalam kepelbagaian imej dan rupa, alunan warna yang berani memberi kesan yang mendalam serta kepuasan kepada peminat dan pencinta seni.  

Karya Amy Hashim diterima baik dah telah dipamerkan di dalam dan di luar negara termasuk Amerika Syarikat, Korea, Jepun dan Australia.  

Karyanya dikumpul oleh pengumpul karya dari sektor awam dan swasta serta daripada kolektor dari dalam dan luar negara. 

Amy juga mengeluarkan karya mampu milik ‘limited edition’ yang disertai kad pengesahan cetakan berkuali tinggi di atas kanvas dan juga fabrik sutera. 

The Soul II adalah pameran solo Amy yang keempat dan diberi kepercayaan oleh pihak Balai Seni Negara untuk mengadakan pameran selama dua bulan.  Pameran akan dirasmikan oleh kolektor terkemuka negara, Zain Azahari Zainal Abidin pada 12 Oktober pada pukul 12.30 tengah hari.

Ia terbuka kepada orang awam setiap hari sehingga 25 November 2019. Bertempat di Creative Space, BSN, Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.  Masuk adalah percuma. 

 Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi talian +6 013 8769569 atau +6 012 6700114.

3
0
0
0
0
You will be interested