Politik & Negara 20 Mar, 2025

Awas ekstremis agama! Jangan pandang enteng! Bukan setakat lari akidah! Tapi ancam keselamatan negara!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


SEJAK zaman Rasulullah SAW, fahaman radikal segolongan umat Islam sudah berakar umbi yang bukan sahaja mencetuskan perpecahan dalam kalangan ummah malah membawa kepada pembunuhan Saiyidina Uthman bin Affan dan Saiyidina Ali bin Abi Talib.

Ini membuktikan betapa fahaman radikal dalam kalangan umat Islam bukan saja boleh menjurus golongan ini kepada ajaran sesat malah boleh mencetuskan keganasan sehingga membawa kepada pertumpahan darah sesama orang Islam.

Dalam konteks negara Malaysia, bibit-bibit kepada fahaman itu juga cuba dihidupkan namun berjaya dikekang kerajaan khususnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Untuk itu, PDRM menubuhkan unit khas untuk  memantau kegiatan golongan ekstrem ini serta mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung kegiatan mereka.


MUHAMMAD Muzhafar Mohd Yusof (kiri) dari Cawangan Khas PDRM.


Mengulas isu ini, ASP Muhammad Muzhafar Mohd Yusof dari E8 Cawangan Khas Bukit Aman, berkata, selain menguatkuasakan undang-undang, PDRM turut mengambil langkah mencegah.

“Sejak 1959, golongan yang membawa ideologi ekstrem agama sudah ada. Pelbagai pertubuhan seperti Jemaah Islamiyah (JI), Darul Islam, Mujahidin Malaysia yang berorientasikan keganasan wujud.

“Pada 2014, timbul pula IS (Islamic State) dan Daesh, serpihan daripada kumpulan Al-Qaeda yang berpangkalan di Syria. Mereka ini berjuang untuk menubuhkan Negara Daulah atau Islamic State yang dipimpin oleh seorang khalifah.

“Sesiapa yang menentang atau tidak ikut dianggap kafir atau taghut dan darah mereka halal untuk ditumpahkan.

“Ketika itu ramai rakyat Malaysia terpengaruh dan mahu berhijrah ke Syria kerana pada mereka, tinggal di Malaysia tidak akan masuk syurga kerana diperintah menggunakan sistem berparlimen (Barat),” katanya.


LAPORAN akhbar pembabitan rakyat Malaysia dengan pertubuhan IS.


Menurut Muzhafar, antara tarikan utama untuk mereka menyertai kumpulan itu adalah dimomokkan akan mati syahid jika terbunuh dan sebagai langkah mudah menuju ke syurga.

“Mereka dimanipulasi menerusi penggunaan hadis-hadis akhir zaman dan ayat-ayat Quran yang disalah tafsir atau diambil separuh-separuh yang menggambarkan perjuangan mereka akan dipimpin oleh Imam Mahadi.

“Apabila yang menerima doktrin ini tiang agama tak kuat, mereka mudah terpengaruh dan menerima bulat-bulat.

“Bila PDRM berjaya menyekat, mereka berjihad di negara sendiri dengan menyasarkan pemimpin-pemimpin negara serta tempat tertentu sebagai sasaran untuk melakukan serangan.

“Namun, PDRM berjaya mematahkan 28 cubaan melakukan serangan kecuali satu kes pengemboman kelab pada 2016 yang tidak mengorbankan sebarang nyawa dan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram yang menyebabkan dua anggota polis serta penyerang sendiri terbunuh,” jelas Muzhafar.


SERANGAN Balai Polis Ulu Tiram bukti fahaman ekstremis agama boleh mengancam keelamatan negara.


Menurut Muzhafar, insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024, boleh dijadikan rujukan betapa fahaman agama yang esktrem dan radikal boleh mengancam keselamatan negara jika tidak dibendung.

“Bagi mereka, darah umat Islam yang tidak menyokong perjuangan mereka halal untuk ditumpahkan. Malah, ketika ayah kepada penyerang diberitahu mengenai kematian anaknya yang ditembak polis, dia mengucapkan ‘Alhamdulillah’.

“Hasil siasatan polis ke atas keluarga ini, kami mendapati si ayah adalah bekas anggota JI (Jemaah Islamiyah) yang sudah mendoktrin keluarganya tentang perjuangan itu sejak 2014.

“Setiap kali selepas solat subuh, si ayah akan bertanya adakah anaknya (penyerang) sudah bersedia untuk "zasss" yang bermaksud melakukan serangan yang disasarkan ke atas anggota polis.

“Malah, kami menemui banyak senjata buatan sendiri seperti senapang angin serta bahan bacaan yang menjurus kepada fahaman radikal di rumah mereka,” jelasnya lagi.


ANGGOTA polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram.


Menurut Muzhafar lagi, cabaran kini adalah penyebaran dakyah ekstremisme dalam media sosial yang mana mereka semakin mudah melebarkan pengaruh menerusi pelbagai capaian.

“Dulu, mereka menggunakan cara klasik, menerusi personal touch. Mereka melakukan usrah dan bertemu secara sulit untuk menyebarkan dakyah.

“Tapi, kini melalui media sosial ia dilakukan secara lebih efisien sehingga golongan remaja turut terjebak dan terikut fahaman ini.

“Buat masa sekarang, mereka memanipulasi isu Palestin untuk menarik minat orang ramai,” katanya lagi.

Muzhafar berkata, masyarakat perlu diberitahu betapa bahayanya golongan ekstremis atau radikal agama terhadap ancaman keselamatan dan keamanan negara.

Jika ia tidak dibendung, apa yang berlaku di negara luar termasuk Indonesia tidak mustahil akan berlaku di Malaysia. Justeru beliau meminta masyarakat turut peka dengan perkembangan sekeliling. 


AHLI keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram didakwa di mahkamah.


“Dalam kes di Ulu Tiram, keluarga berkenaan memang tidak bermasyarakat dan hanya mengurung diri di rumah sehinggakan penduduk setempat tidak menyedari kegiatan mereka.

“Kita bukan hendak menjaga tepi kain orang, tapi masyarakat perlu memainkan peranan memantau kehidupan di persekitaran mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berkongsi pandangan itu menerusi program Forum Perdana Subuh anjuran Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Batu Caves Selangor pada Ahad, 16 Mac, 2025.

Selain Muzhafar, forum bertajuk ‘Bahaya Akidah Dan Keselamatan Negara’ itu turut mengundang Ustaz Dr Abdullah Jalil dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai ahli panel sementara Ustaz Hafiz Al-Zafarani bertindak sebagai pengantara.


FORUM Perdana Kuliah Subuh anjuran Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor.


Berkongsi pengalamannya selama 26 tahun mengkaji isu berkaitan, Dr Abdullah berkata apa yang berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW membawa ke era terkini, sikap radikal atau melampau dalam Islam akhirnya membawa perbalahan dalam kalangan umat Islam hingga menumpahkan darah.

“Golongan pelampau agama ini akan mengkafirkan sesiapa saja umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka malah sanggup membunuh kerana menganggap darah mereka yang menentang dianggap sebagai halal.

“Ini sudah berlaku pada zaman Rasulullah ke atas Saiyidina Usman (Affan) dan Saiyidina Ali (Abi Talib). Malah kejatuhan beberapa kerajaan Islam juga berpunca daripada perbalahan antara sesama Islam.

“Ini membuktikan, jika perkara ini tidak dibendung, ia boleh mengancam keselamatan negara. Mereka yang radikal ini bukan saja rosak akidah malah membahayakan negara,” katanya. - KitaReporters


ANTARA jemaah yang hadir Forum Perdana Kuliah Subuh pada Ahad, 16 Mac, 2025.

 

10
10
0
14
0
You will be interested