Wanita 10 Nov, 2019

INAI REENA MERAH, INDAH BERSERI DI JARI

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

KELINCAHAN tangan dan jari jemarinya mengukir inai di tangan, jari atau kaki pelanggan menyerlahkan kemahirannya dalam seni ukiran inai. Lebih mengagumkan, kemahiran ini dimiliki berteraskan kreativiti sendiri, bukan melalui kelas formal atau belajar daripada orang lain.

REENA mengukir inai di jari pelanggan.


Inilah keistimewaan Nurazreena Afiqa Salmi atau nama ringkas Reena, 24, yang telah berkecimpung dalam seni mengukir inai sejak lima tahun lalu.

Pelanggannya bukan hanya bakal raja sehari yang berinai untuk hari bersejarah mereka, tetapi juga orang ramai yang sengaja suka-suka untuk berinai.

Reena yang berasal dari Kamunting, Perak ketika ditemui memberitahu baru-baru ini, beliau mula mengukir inai di kampungnya lima tahun lalu.   

“Kebanyakan pelanggan saya ialah bakal pengantin di kawasan kediaman saya atau yang berdekatan,” katanya.

Kerana itu, menurut beliau, pelanggannya terhad memandangkan bukan sepanjang masa sentiasa ada orang hendak berkahwin serta memerlukan khidmat berinai daripadanya.

Justeru, selepas dua tahun menginai di Kamunting, Reena menyimpan impian datang ke Kuala Lumpur bagi meningkatkan kemahiran serta menambah pendapatan.   

Peluang ini terbuka apabila beliau mendirikan rumah tangga dan kemudian mengikut suaminya yang bertugas di ibu negara.

NURAZREENA SALMI @ REENA


UKIRAN inai di jari dan tangan.


SATU lagi ukiran inai di jari dan tangan.


Ternyata rezekinya bertambah apabila datang ke Kuala Lumpur. Beliau menjadikan bazar malam (Uptown) Danau Kota, Setapak, sebagai ‘pangkalan’ perkhidmatannya sejak tiga tahun lalu.

Hasil kerja tangannya makin dikenali dan diminati pengunjung Uptown Danau Kota, sama ada pengunjung biasa atau mereka yang hendak berkahwin.

Reena juga sedia menerima tempahan untuk datang menginai ke rumah. Sedikit bayaran tambahan  dikenakan bagi perkhidmatan ini.

“Di Kuala Lumpur, pelanggan saya lebih ramai dan tidak hanya tertumpu kepada mereka yang hendak berkahwin sahaja.

“Ramai yang datang berinai hanya untuk menyerikan tangan dan jari mereka atau untuk suka-suka,”  kata beliau yang mempunyai seorang anak kecil.

REENA tekun mengukir inai.


UKIRAN sekata pada kedua belah tangan dan jari-jari.


Untuk kemudahan pelanggan, Reena menyediakan beberapa gambar corak gubahan inai untuk pilihan pelanggan menurut citarasa masing-masing.

Mereka hanya perlu memberitahu ukiran yang dikehendaki dan Reena boleh melakarnya sama cantik seperti gambar asal.

Harga pula bergantung kepada ukiran inai yang dipilih. Kos bermula daripada RM10 bagi ukiran mudah dan meningkat hingga puluhan ringgit bagi ukiran lebih rumit. Kos ialah bagi satu ukiran. Misalnya jika ukiran pada sebelah tangan ialah RM10, kos bagi dua belah tangan ialah RM20.

Yang mengagumkan, Reena membuat ukiran tanpa lakaran, hanya berpandu pada gambar. Gambar ini ‘dipindahkan’ ke tangan atau kaki pelanggan dengan hanya menggunakan lenggok jari jemarinya menekan tiub yang berisi inai pekat.

Jari jemarinya akan bergerak lincah dan berayun dengan penuh berseni mencipta ukiran tanpa sebarang kesilapan.

Apabila ukiran sudah siap pada sebelah tangan, Reena akan membuat ukiran serupa pada sebelah lagi tangan. Hasilnya sama tanpa perbezaan. Hanya dengan kemahiran mampu menghasilkan seni sebegini.

Mengenai masa membuat ukiran, yang mudah biasanya boleh siap dalam setengah jam manakala ukiran rumit mengambil masa lebih lama sedikit.

MENGUKIR inai di tangan.


UKIRAN inai di tangan.


Berinai masa kini lebih bersifat ‘inai moden’. Ini kerana ia tidak lagi menggunakan daun inai yang ditumbuk lumat dan dilekatkan pada jari atau kaki pengantin. Inai akan ditanggalkan setelah beberapa jam untuk mempastikan ia telah sebati dengan kulit. Warnanya merah berseri.

Malah tradisi berinai pengantin juga kian terhakis. Dahulu ada malam berinai kecil yang hanya dihadiri keluarga pengantin perempuan. Kemudian ada pula malam berinai besar yang turut dihadiri keluarga sebelah lelaki.

Mungkin masih ada yang mengamalkan tradisi ini. Namun bagi Reena beliau menggunakan bahan inai yang diimport dari India.

“Serbuk inai dibancuh sehingga menghasilkan cecair pekat yang dimasukkan dalam tiub. Tiub ini dipicit ketika membuat ukiran,” kata Reena.

Cecair pekat ini menghasilkan ukiran timbul atau ‘embossed’. Setelah lebih kurang sejam atau setelah ‘embossed’ kering, ia ditanggalkan sedikit demi sedikit.

Hasilnya ialah kesan ukiran inai melekat pada tangan, jari atau kaki menurut corak ukiran asal. Sangat menarik mata memandang.

“Ukiran biasanya tahan seminggu atau lebih lama jika tidak terlalu kerap dibasuh atau menggunakan lotion,” kata Reena.

Kepada mereka yang ingin berinai dengan Reena bolehlah berkunjung ke Uptown Danau Kota, Setapak. Atau boleh melayari Instagram beliau @areynavintage.  

MENGUKIR inai di tangan.


KAKI juga diinai.


UKIRAN menarik di jari dan tangan.


 

SATU lagi contoh ukiran di tangan dan jari.

8
0
0
0
0
You will be interested

BUAT SAMPAI DAPAT.. DOA IBU SUMBER KEJAYAAN NORKAMALIA

Siri Wanita Hebat : Kelab Khadijah Kuwailid. Siti Norkamalia Khalil, anak jati Johor yang pernah menjual tudung, berniaga kerepek dan membuat serta menjual bahulu

Kartini Mohd Noor in Wanita 4 years ago

KRU PELAYAN PENUMPANG YANG BAIK HATINYA

Seorang kru dalam sebuah tren di Taiwan menjadi tular selepas berjaya kawal keadaan dan bijak mententeramkan seorang penumpang di dalam kereta api berkenaan
Yati Yazid in Wanita 4 years ago

NAK KUIH AKOK ORI? MARI KE LESTARI PERDANA

Noor Hidayah Sahak, 30, menjalankan perniagaan kuih akok di Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor sebagai usaha untuk meneruskan legasi keluarga
Isa Ramli in Wanita 4 years ago

BERITA BAIK! KEPADA IBU-IBU YANG PERLUKAN IVF

Tunku Azizah merasmikan Pusat Alpha IVF & Women’s Specialists (KL), salah satu pusat rawatan kesuburan Persenyawaan In Vitro (In Vitro Fertilisation, IVF) yang terbesar di rantau ini
Editor 1 in Wanita 4 years ago

BUKTI KASIH KEPADA SI BULUS GELANDANGAN

Setiap kali memberi makanan, saya sentiasa berpesan agar mereka (kucing) juga mendoakan saya dimurahkan rezeki, kata Natrah MJ
DSA Wahab in Wanita 4 years ago