Wanita 11 Oct, 2019

DI MANA KAN KU CARI GANTI, SUAMIKU YANG TERSAYANG?

@samadi ahmad
Experience as a Independent Journalist for 20 year, covering various aspect of the news including politics, business, crimes and specializing in Media Events.

Share this
SESUNGGUHNYA perkara yang paling dekat dengan manusia adalah kematian. Tiada siapa dapat menjangkakan bila dan bagaimana kita akan pergi menghadap Ilahi.

Gambar ihsan www.sinarharian.com.my


Kematian seseorang itu juga membuatkan ahli keluarga atau orang tersayang menjadi rasa murung, sedih dan menanggung rasa rindu berpanjangan. 

Kasih sayang tiada penghujung membuatkan seorang ibu muda terpaksa berhadapan kesedihan tatkala suami disayangi pergi meninggalkan buat selama-lamanya akibat kemalangan jalan raya.

Kehilangan tempat bergantung dan mengadu kasih itu turut dikongsi bersama enam orang anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ayah tatkala mereka dalam proses meningkat remaja. 

Sepanjang beberapa bulan, wanita tabah ini terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi untuk menerima kenyataan suami yang menjadi kebanggaan keluarga itu telah tiada dan perlu kembali bangkit untuk meneruskan kehidupan selepas menerima sokongan dan dorongan daripada anak-anak, keluarga serta sahabat handai.

Syukartinie Awang, 39, yang menjadi ibu dan ayah kepada keluarga besar itu mengakui melalui pelbagai pengalaman pahit getir selepas kehilangan suami tersayang pada penghujung Mei lalu.

Menurut Syukartinie,lebih hebat ketika itu anak bongsu baru berusia tiga tahun,manakala yang sulung 16 tahun masih bersekolah dan perlukan perhatian dan kasih sayang seorang ketua keluarga.

Syukartinie berkata, "hati mana yang tidak sedih, arwah pergi meninggalkan kami beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kami juga telah merancang untuk meraikannya bersama keluarga di kampung halaman."

Beliau yang juga guru Bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baharu, Batu Caves, Selangor berkata bagi tempoh tiga bulan pertama selepas kehilangan suami, beliau sering bersedih dan murung lebih-lebih mengenangkan nasib anak-anak yang perlu membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.

"Sepanjang tempoh itu saya menerima rawatan dan bimbingan pakar psikologi bagi memberi semangat kepada diri untuk berhadapan dengan situasi sebenar terutama dalam membesarkan anak-anak.

"Banyak perkara difikirkan terutama menghadapi kesukaran dari segi kewangan memandangkan saya perlu menanggung anak-anak secara bersendirian terutama yang masih bersekolah dan akan menduduki peperiksaan," katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan insurans kemalangan arwah suami pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di Hotel Palm Garden, Putrajaya baru-baru ini.

Pada majlis itu, beliau menerima bantuan insurans arwah suami berjumlah RM28,000 dan sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi YGMB, Aminudin Adam.

Selain waris Mohd Nazeri, YGMB turut menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada waris dua lagi guru iaitu mendiang Parimala Muniandy, 35, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 27 Jun lalu dan Allahyarham Khairuddin Md Yusof, 55, yang meninggal akibat sakit jantung pada 1 Ogos lalu yang masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM8,000.

Aminudin ketika ditemui berkata, sejak ditubuhkan pada 1994, YGMB telah membelanjakan hampir RM17 juta bagi membiayai sumbangan kebajikan menerusi pelbagai kategori manfaat yang ditawarkan kepada ahli.

Berita kemalangan jalan raya membabitkan Mohd. Nazeri Zakaria, 42, bersama dua lagi anaknya sekitar jam 8 pagi pada 30 Mei lalu yang berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak untuk mengambil salah seorang anaknya yang tinggal di asrama untuk cuti Hari Raya Aidilfitri pernah tular di media.

Pemergian arwah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Nazeri yang juga guru agama di sebuah sekolah tahfiz bukan sahaja ditangisi murid-muridnya, malah turut memberi kesan kepada penduduk setempat yang sering hadir ke kuliah agama yang disampaikannya di masjid dan surau.

Ketika kejadian, dua anak lelaki yang menemaninya hanya mengalami cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit dalam nahas tiga kenderaan.

Syukartinie yang masih bersedih dengan pemergian suami itu mengucapkan terima kasih kepada YGMB serta menyifatkan sumbangan tersebut dapat meringankan bebannya yang kini membesarkan enam orang anak yang masih kecil.

"Pada mulanya, saya tidak tahu arwah suami menjadi ahli YGMB, selepas membuat semakan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), barulah saya dapat tahu arwah telah beberapa tahun menjadi ahli".

“Arwah suami amat mementingkan pendidikan anak-anak, jadi saya bercadang mahu menyimpan wang sumbangan YGMB untuk kegunaan pendidikan anak-anak pada masa depan," katanya.

Gambar ihsan www.kosmo.com.my

1
0
0
0
0
You will be interested

BELAJAR 'FIGURING'... TENGOK VIDEO 1,000 KALI

Ibu kepada dua anak, Susyila Mohd Burhanudin, 38, memberanikan diri menceburi bidang dekorasi kek dan membentuk karektor atau ‘figuring’ sejak 10 tahun lalu.

DSA Wahab in Wanita 4 years ago

KRU PELAYAN PENUMPANG YANG BAIK HATINYA

Seorang kru dalam sebuah tren di Taiwan menjadi tular selepas berjaya kawal keadaan dan bijak mententeramkan seorang penumpang di dalam kereta api berkenaan
Yati Yazid in Wanita 4 years ago

NAK KUIH AKOK ORI? MARI KE LESTARI PERDANA

Noor Hidayah Sahak, 30, menjalankan perniagaan kuih akok di Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor sebagai usaha untuk meneruskan legasi keluarga
Isa Ramli in Wanita 4 years ago

BERITA BAIK! KEPADA IBU-IBU YANG PERLUKAN IVF

Tunku Azizah merasmikan Pusat Alpha IVF & Women’s Specialists (KL), salah satu pusat rawatan kesuburan Persenyawaan In Vitro (In Vitro Fertilisation, IVF) yang terbesar di rantau ini
Editor 1 in Wanita 4 years ago

INAI REENA MERAH, INDAH BERSERI DI JARI

Nurazreena Afiqa Salmi atau nama ringkas Reena, 24, yang ada kedai di Uptown Danau Kota telah berkecimpung dalam seni mengukir inai sejak lima tahun lalu
Ahmad Abd Hamid in Wanita 4 years ago