'BAHASA Jiwa Bangsa'... Perumpamaan itu bagaikan sesuai dengan kecintaan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap Bahasa Melayu dengan bertitah menerusi ciapan baginda di Twitter yang menyeru setiap rakyat negara ini menggunakan bahasa kebangsaan.
"Jangan lupa cakap Melayu ok... bahasa menunjukkan bangsa," ciap baginda.
Dalam masa yang sama baginda menyeru semua pihak khususnya pelajar agar menguasai banyak bahasa kerana dengan cara tersebut ia dapat menyatupadukan manusia dengan budaya, bangsa dan agama dari pelbagai negara.
Menerusi pameran Pahang English Teaching Assistant 2019 yang dihadiri baginda di Kuantan, Tunku Azizah menegaskan bahawa mempelajari dan mendalami bahasa asing selain bahasa kebangsaan bukanlah bertujuan melupakan identiti bangsa.
"Pembelajaran Bahasa Inggeris bukan untuk meminggirkan Bahasa Melayu malah menyatupadukan kita. Program English Teaching Assistance (ETA) perlu diberikan sokongan penuh dan diperluaskan ke lebih banyak lagi sekolah.
"Kaedah seperti ini mampu meningkatkan pengetahuan pelajar menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Belajar bahasa lain tidak merosakkan identiti bangsa.
"Saya sendiri amat cintakan Bahasa Melayu dan suka bercakap Bahasa Melayu," titah baginda sempena Pahang Fullbright ETA Showcase 2019 di sebuah hotel di Kuantan semalam (14/10/2019).
Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah turut berkenan berangkat bercemar duli ke majlis berkenaan.
Yang turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir; Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Dr. Tajuddin Mohd. Yunus.
Program berkenaan, yang bermula pada 2012, adalah satu kolaborasi bersama antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat yang bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris secara lebih menarik.
ETA disertai seramai 100 pendidik dari Amerika Syarikat yang berkhidmat di sekolah-sekolah kebangsaan seluruh negara membabitkan 83,480 pelajar.
Program tersebut kemudian turut dilaksanakan di sekolah-sekolah di Terengganu, Kedah, Kelantan, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Sabah dan Sarawak.
Raja Permaisuri Agong turut menyampaikan hasrat Al-Sultan Abdullah agar program sama dijalankan di Amerika Syarikat dengan menghantar pelajar atau guru ke sana untuk mengajar Bahasa Melayu, sekali gus mendalami dan mempelajari budaya di sana.
Sementara itu, Duta Amerika Syarikat, Kamala Shirlin Lakhdir berkata, bersama ETA para pelajar menimba ilmu menerusi pembelajaran dalam kelas, aktiviti kurikulum tambahan dan bersama komuniti.
"Para ETA akan meluangkan banyak masa bersama dengan para pelajar untuk berkongsi pengalaman dan budaya mereka dengan berbahasa Inggeris.
"ETA menggunakan pengukuran yang kreatif seperti memasak, keupayaan bersukan, muzik dan bakat artistik serta apa sahaja yang boleh diaplikasikan untuk mengendali program di sekolah mereka," katanya.