''Ampun Tuanku, awat lawak sangat la ni''.
Antara komen yang ditinggalkan netizen apabila Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara berseloroh memuat ciapan akan membuka sebuah restoran diberi nama McJihan sempena nama puteri bongsu baginda yang gemar santap burger setiap hari.
Ini berikutan kesilapan restoran makanan segera McDonald's yang tidak menyertakan sekali kepingan daging apabila puteri bongsu baginda membeli cheeseburger baru-baru ini.
Raja Permaisuri Agong yang terkenal sebagai pakar masakan turut berkongsi bersama warganet bahawa baginda sering menyediakan hidangan burger dan kepingan daging secara homemade.
Menerusi beberapa ciapan, baginda turut berkongsi burger McZizzis yang disediakan baginda untuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selain beberapa menu istimewa seperti ais krim dan karipap.
"Maybe at McZizzis boleh jual icecreams dan sardine puffs... kita buka booth yang pertama di depan Istana Negara''.
Ciapan berkenaan membuatkan netizen semakin teruja untuk merasai masakan baginda sehingga ada yang sanggup beratur dan berkelah di depan istana negara jika ia direalisasikan.
Umum mengetahui Tunku Azizah sememangnya seorang yang cukup hebat memasak dan telah menerbitkan tiga buah buku resepi iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang.
Malah, baginda juga sanggup mengetepikan protokol dengan bercemar duli berangkat ke pusat-pusat pemindahan banjir jika berlaku bencana alam di Pahang itu untuk memasak sendiri kepada mangsa.
Bukan sahaja baginda, keperibadian Tunku Azizah yang tiada tolok bandingan dalam menyantuni rakyat kini terserlah diwarisi puteri-puteri baginda.