Alam & Sains 17 Oct, 2019

TAHNIAH!! JURUTERA CILIK ROBOT JULANG NAMA NEGARA

@samadi ahmad
Experience as a Independent Journalist for 20 year, covering various aspect of the news including politics, business, crimes and specializing in Media Events.

Share this
PENDEDAHAN dan penguasaan masyarakat negara ini dalam bidang robotik semakin memberangsangkan melalui usaha Kerajaan menjadikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai antara bidang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Dari kiri: Muhammad Syahir Arshad, Shaheil Liam Kumar dan Foo Sheng Chai. Gambar ihsan Star TV @  https://www.youtube.com/watch?v=VmPHX3MVaiU


Misi diadakan kerajaan itu bertujuan mewujudkan penguasaan rakyat dalam bidang berkenaan serta menjadi medium terbaik untuk negara melahirkan saintis dan jurutera yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Walaupun pendedahan terhadap bidang robotik itu masih baru di negara ini jika dibandingkan dengan negara maju yang lain, namun kita masih mampu bersaing serta berada pada tahap pertama dengan mengatasi negara yang lebih maju dan awal menceburi bidang berkenaan.

Pertandingan Robotik Antarabangsa 2019 (IRC) yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Korea, Korea Selatan dari 10 hingga 12 Oktober lalu merupakan platform yang baik bagi menterjemahkan teori pembelajaran sistem robotik dan kemahiran mengendalikan peralatan elektronik serta komputer.

Dalam penyertaan yang dibawa oleh World of Robotics Sdn Bhd, pasukan negara berjaya memenangi satu pingat emas dan perak melalui Kategori Menengah Rendah,manakala satu pingat gangsa dalam Kategori Menengah Atas bersaing dengan 15 buah negara ternama.

Paling membanggakan, dua pasukan negara berentap pada peringkat akhir Kategori Menengah Rendah dengan menyingkirkan negara besar terdiri dari Amerika Syarikat dan China.

Pingat emas negara diraih melalui pasukan disertai tiga pelajar tingkatan dua berumur 14 tahun terdiri dari Muhammad Syahir Arshad (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya), Foo Sheng Chai (SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, Puchong) dan Shaheil Liam Kumar (SMK Kota Kemuning, Klang).

Pingat perak negara diraih melalui pasukan Permata Pintar yang diwakili lima pelajar tingkatan tiga berumur 15 tahun terdiri dari Ahmad Alif Yusma, Chew Yi Nin, Adam Khalis Khairilfaizi, Hana Safiyyah Mohd Hairil Izzuan dan Umi Khalidah Azman.

Kategori Menengah Atas yang membawa pulang pingat gangsa disertai dua pelajar tingkatan empat SMK Gombak Setia, Gombak iaitu Ahmad Aiman Nor Azam dan Muhammad Hafizam Mazril masing-masing berusia 16 tahun.

Muhammad Syahir berkata, pengalaman pertama kali bertanding pada peringkat antarabangsa sememangnya menimbulkan rasa gemuruh terutama apabila berhadapan dengan negara maju yang lebih awal menceburi bidang robotik itu. 

Menurut beliau, menerusi pertandingan itu, mereka menampilkan robot yang ditugaskan untuk mengutip bola pelbagai saiz dan memasukkannya ke dalam bakul khas.

“Robot dihasilkan ini adalah idea secara bersama dan melihatkan kepada persaingan dengan pasukan lain, robot mereka lebih canggih dan hebat.

"Walaupun dari sekolah yang berbeza, atas semangat kerjasama dan berpasukan kami berusaha sehingga berjaya menyelesaikan tugasan dan bila diumumkan sebagai pemenang kami rasa terkejut dan tidak percaya," katanya ketika ditemui sebaik tiba dari Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

 

Sementara itu, Pengarah Projek World of Robotics Sdn Bhd, Michelle Choo berkata, penyertaan itu adalah kali kedua peserta negara dihantar pada pertandingan robotik berkenaan bagi membentuk dan mendedahkan sikap kreatif dalam diri pelajar dalam bidang berkenaan.

Menurut beliau, pada tahun lalu, kita menghantar tujuh pasukan dan membawa pulang hadiah dua emas dan satu gangsa, manakala tahun ini, enam pasukan dan berjaya membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa.

"Walaupun pasukan negara berdepan cabaran sengit dengan pasukan besar dunia, namun berkat kesungguhan dan latihan diadakan semenjak Julai lalu, akhirnya mereka berjaya muncul juara dunia.

"Sebagai mengekalkan perhubungan dalam kalangan peserta yang berbeza sekolah kita mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi memudahkan mereka berbincang sebelum menyertai pertandingan.

"Kita harap lebih ramai lagi pelajar akan menyertai bidang ini dan bagi tahun depan, kita bercadang membawa lebih banyak lagi pasukan untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa," katanya.

1
0
0
0
0
You will be interested