Politik & Negara 03 Oct, 2019

PRK TANJUNG PIAI: TIGA PENJURU, PUTRA HANYA PENGACAU?

@luqman haziq abdullah
Bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Johor

Share this
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November nanti pasti menjadi ukuran terbaik untuk menilai pengaruh parti yang bertanding, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pertembungan dua parti itu akan memberi cerminan undi rakyat sama ada kekal bersama PH atau berubah angin semula menyokong BN selepas termeterainya Piagam Penyatuan Ummah antara UMNO dan Pas yang mencetus perjuangan baharu, Muafakat Nasional.

Selain itu, apakah parti yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus kekal diberi mandat oleh pengundi di Tanjung Piai?

Walau apa pun keputusan PRK itu nanti, ia tidak akan mengubah kerajaan, namun dilihat mampu menghantar 'mesej' jelas kepada PH dan BN.

Banyak pihak ingin melihat pertandingan dua penjuru antara PH dan BN, namun parti yang baru ditubuhkan, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) turut berminat untuk bertanding.

Walaupun tidak diberikan harapan untuk memenangi PRK itu, namun kehadiran calon Putra boleh menjadi 'pengacau' untuk memberikan majoriti lebih besar kepada pemenangnya nanti.

Bersatu sudah pasti diberi mandat semula untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi meneruskan kesinambungan tugas Allahyarham Datuk Dr. Mohamed Farid Md. Rafik yang meninggal dunia pada 21 September lalu.

Siapa pun calonnya nanti, Bersatu amat  menyedari saingan getir daripada BN apatah lagi Allahyarham Mohamed Farid hanya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti kecil, iaitu 524 undi.

Berdasarkan keputusan PRU14, Datuk Dr. Mohamed Farid yang mewakili Bersatu, namun menggunakan lambang PKR hanya menang tipis, iaitu dengan 524 undi menewaskan penyandang, Datuk Wee Jeck Seng daripada BN.

Beliau yang turut dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meraih 21,255 undi, manakala Datuk Wee Jeck Seng mendapat 20,731 dan calon Pas, Nordin Othman memperoleh 2,962 undi.

Sekiranya digabungkan undi yang diperoleh Jeck Seng dan Nordin, iaitu 23,693 pada PRU14, nyata jumlah tersebut melebihi 21,255 undi yang diraih oleh Mohamed Farid.

Malah cakap-cakap politik yang didengari, sekiranya MCA memberi peluang kepada UMNO untuk bertanding, peluang BN untuk merampas semula kerusi tersebut daripada Bersatu dikatakan cerah.

Sekiranya MCA berkeras mahukan kerusi itu seperti tradisinya, PH mungkin boleh menarik nafas lega 'seketika' apatah lagi jika Putra turut bertanding.

Ini kerana undi kaum Cina yang merupakan 43 peratus dilihat masih kekal bersama PH, sedangkan undi Melayu yang merupakan 56 peratus terus terbahagi tiga.

Yang pasti, PRK Tanjung Piai nanti menjanjikan saingan sengit dan menarik untuk dianalisis.

0
0
0
2
0
You will be interested