Bisnes & Ekonomi 28 Aug, 2022

Buat julung kalinya! Forum Pembangunan Industri Halal anjuran HDC diadakan Australia! 1-2 Sept 2022!

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this


BUAT pertama kalinya Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) akan perluas halal Malaysia ke luar negara apabila Forum Pembangunan Industri Halal anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) diadakan di  Pullman Albert Park, Melbourne, Australia  pada 1-2 September 2022 ini.

HDC merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia bekerjasama dengan Suruhanjaya Perdagangan dan pelaburan Australia (Austrade) yang disokong oleh Kerajaan Negeri Victoria.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aspek-aspek halal


WHBC Circuit (WHBCC) 2022 Australia dijangka akan menyumbang secara langsung dalam pembangunan keseluruhan halal industri Malaysia dan Australia yang bertemakan "Peluang Halal dalam Dunia Tanpa Sempadan".

WHBCC 2022 yang diadakan kali  ke-14 nanti akan diadakan secara fizikal sepenuhnya dengan menampilkan pemimpin- pemimpin kerajaan dan wakil kedua-dua negara, pemain industri, ahli perniagaan, komuniti perdagangan dan pemimpin masyarakat dari seluruh dunia untuk membincangkan pembangunan industri halal sejagat.


Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad, Hairol Ariffein Sahari  


Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata,  terma Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara HDC dan Austrade pada Februari 2022 lalu, WHBC Circuit di Australia akan memberi tumpuan kepada inisiatif perniagaan strategik yang terdiri daripada tiga tunggak utama termasuk promosi pelaburan, rundingan perdagangan dan tenaga pakar halal.

“Kami akan membincangkan isu lazim yang dihadapi industri dengan tujuan mengalakkan promosi peluang perniagaan halal di kalangan pemain industri. 

"Selain itu, kami akan meneruskan penglibatan dengan sesi taklimat meliputi semua bandar utama di seluruh Australia bagi mewujudkan momentum mengenai potensi lumayan industri halal dan menerangkan peranan utama Malaysia dalam ekosistem industri halal,” ujarnya.


Pesuruhjaya Kanan Perdagangan dan Pelaburan Austrade yang berpangkalan di Kuala Lumpur , Paul Sanda  


Sementara itu, Pesuruhjaya Kanan Austrade yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Paul Sanda berkata, pihaknya berbesar hati kerana Australia telah dipilih sebagai negara tuan rumah pertama untuk WHBC Circuit 2022.

“Ini adalah peluang unik kepada industri dan perniagaan Australia untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang kerjasama dengan Malaysia untuk memanfaatkan kedua-dua negara secara lebih meluas dalam ekonomi halal global.

“Australia dan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dibina atas kesefahaman bersama tentang nilai kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pelengkap ekonomi kedua-dua negara.

“Tumpuan untuk membina hubungan yang lebih erat dalam industri halal dan kerjasama merentasi pelbagai sektor semestinya akan membawa hasil yang positif untuk perniagaan dan industri,” ujarnya.

Beliau turut mengakui  teruja dengan senarai penceramah yang berkaliber dan para peserta yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing. 

Antara  topik yang akan dibincangkan tertumpu pada makanan dan minuman disamping menampilkan sektor farmaseutikal, kosmetik, rantaian bekalan, perkhidmatan kewangan dan teknologi.

“Saya teruja dengan peluang ini untuk bekerja lebih rapat dengan perniagaan yang berkaitan bagi mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam semua aspek ekonomi halal,” ujarnya.



Antara topik utama persidangan termasuk isu dan peluang dalam Keselamatan Makanan, Keselamatan & Kelestarian, Ekosistem Ramuan Halal, Ketangkasan Perniagaan Halal melalui pendigitalan, kewangan dan perbankan halal, pelancongan mesra muslim dan rangkaian perdagangan halal.

Enam sesi sampingan akan merangkumi pembentangan seperti Salah Tanggapan Mengenai Halal, Pelaburan dalam industri Halal di Malaysia, Peluang untuk Start-up Industri Penjagaan Kesihatan, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Sains & Inovasi Halal, dan Media dan Hiburan Halal.



Di samping itu diadakan pameran penjenamaan 20 syarikat Malaysia dan Australia yang memberi tumpuan kepada Halal Champions. Antara syarikat yang mengambil bahagian termasuk Duopharma Biotech, Ramly Food Marketing, Fraser & Neave Holdings, Malaysia Airlines, Halal International Selangor, Malaysian Palm Oil Council dan Australian Halal Certifier (Islamic Coordinating Council of Victoria). Perwakilan Malaysia termasuk  Selangor, Sabah dan Melaka.

Agensi sokongan lain termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), dan Mesdaq Melaka.



Secara keseluruhannya, persidangan yang tidak boleh dilepaskan untuk pemain industri, utusan diplomatik, kapten industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam sektor kerajaan, syarikat multinasional, persatuan perdagangan dan industri serta dewan perniagaan. 

Pada masa ini, negara yang paling banyak mengambil bahagian adalah dari Australia, New Zealand, Malaysia, Singapura, Filipina dan Kanada. Untuk mendaftar WHBCC 2022,  log masuk ke whbc.hdcglobal.com - KitaReporters


8
10
0
10
0
You will be interested