Menarik 18 Oct, 2019

SAYA AMAT TERINGIN NAK BERTEMU AGONG - NURUL SHARMINE

@samadi ahmad
Experience as a Independent Journalist for 20 year, covering various aspect of the news including politics, business, crimes and specializing in Media Events.

Share this
BERTEMU dan kematian itu penentuan Allah SWT. Bagi seorang remaja berstatus orang kurang upaya (OKU), Nurul Sharmine Sofea Fahaizal Zee, beliau reda dengan nasibnya, namun berharap dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebelum dipanggil mengadap Allah.

Nurul Sharmine Sofea Fahaizal Zee bersama ayah, Fahaizal Zee Mohd Jaapar dan ibu,  Zaimatul Shema Baijuri.


Nurul Sharmine, 21, berkata, dia sangat teringin bertemu pasangan diraja itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ini kerana, katanya, dia amat meminati baginda berdua yang terkenal dengan sikap rendah diri, mesra rakyat dan prihatin tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurutnya, hasrat itu telah disampaikan kepada baginda melalui ciapan di akaun Twitter milik bapanya, Fahaizal Zee Mohd Jaapar, 47, seminggu lalu melalui Twitter Tunku Azizah @cheminahsayang.
Katanya,dua hari lalu, ayahnya menghantar semula ciapan dan mendapat balasan melalui Twitter Tunku Azizah  yang bertanyakan alamat kediaman mereka.

“Saya merasa teruja sekiranya baginda memperkenankan harapan saya walaupun untuk sembuh masih samar.

"Harapan saya semoga penyakit yang dialami mendapat kesembuhan segera dan dapat  menjalani kehidupan seharian seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Semenyih Ria, Selangor baru-baru ini.

Anak gadis yang tinggal bersama keluarganya ini asalnya adalah seorang remaja biasa dan mengalami masalah kesihatan misteri bermula apabila dia tidak dapat merasakan kakinya menjejak lantai selepas diserang demam panas pada tahun lalu.

Nurul Sharmine, dulunya aktif dan menjadi harapan keluarga adalah graduan berkelulusan Diploma Sains Komputer dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), tetapi kini tidak mampu bergerak sendiri dan sudah lebih  setahun terlantar berikutan lumpuh separuh badan.

Semenjak kejadian itu, rutin kehidupan seharian beliau diuruskan ibu bapanya, Fahaizal Zee Mohd Jaapar, 47, dan Zaimatul Shema Baijuri, 48, yang membantu memandikannya, menyediakan pakaian, membawa ke hospital bagi pemeriksaan bulanan dan menentukan jadual ubat yang perlu diambil setiap hari. 

Fahaizal memberitahu, beliau menciap di laman Twitter kepada Tunku Azizah: “Assalamualaikum Tuanku Permaisuri Azizah, ampun Tuanku ini kali kedua saya merayu kepada Tuanku berdua sekiranya dapat melaksanakan impian adik Nurul yang sekarang ini terlantar di rumah dan kesihatan semakin merosot dapat berjumpa baginda berdua.”

Ciapan itu kemudiannya mendapat respons Tunku Azizah.

Titah baginda: “Saya ada tanya alamat tapi tidak diberi, hanya sebut sudah keluar hospital.”

Ciapan itu turut mendapat tanda suka lebih 2,000 netizen dan mendoakan Nurul Sharminie kembali pulih dan berharap   permintaan beliau  mendapat perkenan pasangan diraja itu.

Menurut Fahaizal lagi, hasrat bertemu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu disuarakan anaknya sejak dua minggu lalu yang beriya-iya untuk bertemu dengan idola yang diminatinya itu serta disanjung ramai.

Katanya, dua minggu lalu anaknya dirawat di hospital dan sejak akhir-akhir ini, dia kerap diserang sawan dan keadaan kesihatannya juga semakin merosot.

Katanya, pada minggu ini, dia beberapa kali menghubungi pihak istana dan bercakap melalui telefon dengan seorang pegawai bagi menyampaikan hasrat anaknya itu.

"Perbelanjaan bagi mengurus Nurul Sharminie agak tinggi dan setiap bulan kami terpaksa berulang alik membawa beliau ke Hospital Putrajaya bagi membuat pemeriksaan.

"Saya juga terpaksa berhenti kerja akibat derita tulang belakang selain menghidap vertigo dan perbelanjaan seharian bergantung dengan jualan baju wanita secara kecil-kecilan selain menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Penyakit autoimmune disease sayaalami juga kadangkala membataskan pergerakan untuk menguruskan Nurul Sharmine yang perlu didukung untuk diletakkan ke atas kerusi roda khas.

"Saya reda dengan ujian ini dan sebelum ini, seorang anak perempuan kami meninggal dunia disebabkan kanser dan mungkin Allah hendak uji tahap kesabaran diri kami," tambah Fahaizal.

Sebelum ini, katanya, mereka sekeluarga pernah menunaikan beberapa permintaan Nurul Sharmine dengan berjumpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; dan dua selebriti iaitu penyanyi, Zamani Slam dan Rahim Raja Lawak dari kumpulan Sepahtu.

Menurut Fahaizal lagi, Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga banyak membantu dari segi perubatan, lampin dan katil khas untuk Nurul Sharmine.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada LZS Bangi yang banyak membantu meringankan perbelanjaan keluarga.

2
1
0
0
0
You will be interested

KERANA MORTAR BOARD, GRADUAN JADI 'FAMOUS'

Bagi seorang graduan UKM, Lee Hui Fen, satu kejadian yang tidak disangka telah berlaku kepada dirinya sewaktu Majlis Konvoksyen UKM Ke-47

Samadi Ahmad in Menarik 4 years ago

MENGENALI PUTERA TAMPAN, TINGGI LAMPAI

Ketampanan dan sikap merendah diri Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua'adzam Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah buatkan baginda amat disenangi rakyat
Rashid Rahman in Menarik 4 years ago

DARI BENTONG KE KL JUAL SAYUR KAMPUNG

Din Esai, seawal pukul lima pagi, dia bergerak meninggalkan rumahnya di Bentong, mengharungi perjalanan 72 kilometer menuju destinasi di Taman Permata, Hulu Kelang, Selangor untuk menjual sayur kampung
Ahmad Abd Hamid in Menarik 4 years ago

TERBAIK!! PEMUDA ROMANIA NYANYI "TIADA LAGI"

Pemandu Grab, Ismail Samuri kepada pemuda dari Romania, Chris Jacob, terkejut melihat warga asing dapat menguasai bahasa Melayu dan lebih menariknya mampu menyanyi lagu Melayu dengan lancar.
Yati Yazid in Menarik 4 years ago

PENDEKAR 'INDIANA JONES' CARI HARTA KARUN

Mustaqim Mohd Salleh tidak pernah merasakan hobinya itu sia-sia kerana dirasakan telah memberi hasil lumayan dan berbaloi
Samadi Ahmad in Menarik 4 years ago