Insan & Komuniti 08 Jun, 2023

Memenuhi satu impian! Cikgu Roslan nak bersara macam raja! Guru dan kakitangan SMK Sulaiman tunaikan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


ZAMAN Kesultanan Melayu Melaka menjadi tema pilihan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman (SMK), Bentong, Pahang dalam merai serta memeriahkan Majlis Persaraan Cikgu Roslan Kamaruddin pada 26 Mei 2023.

Ibarat peribahasa ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ diharapkan peristiwa bersejarah yang menjadi impian Cikgu Roslan itu terpahat di hati setiap warga sekolah berkenaan apabila terpaksa berpisah dengan seorang guru yang banyak menabur bakti serta berjasa di SMK Sulaiman.


Cikgu Roslan yang lengkap berpakaian busana tradisional Melayu diarak ke atas pentas utama SMK Sulaiman sebelum dipersila duduk di atas singgahsana ibarat seorang ’raja’.


Pengetuanya, Rohani Abu Bakar, berkata tema itu, yang dipilih sendiri Cikgu Roslan bagi melalui saat-saat indah serta bersejarah sebelum melangkah meninggalkan SMK Sulaiman, direncanakan dengan begitu rapi oleh Kelab Staf SKM Sulaiman dengan membabitkan semua warga sekolah berkenaan.

Menurutnya, pada hari berkenaan guru dan kakitangan sokongan mengayakan pakaian yang unik dengan berwarna-warni busana tradisonal seperti Zaman Kesultanan Melayu Melaka sebagai terjemahan ‘rakyat jelata terhadap raja yang banyak berjasa’.

Tambah beliau, kesungguhan dan komitmen ditunjukkan warga SMK Sulaiman yang hadir dengan tema ditetapkan itu juga mengambarkan kesepakatan dan rasa terhormat terhadap individu diraikan apatah lagi Cikgu Roslan adalah guru Matematik cukup dikenali, dihormati dan disegani di Daerah Bentong. 


Cikgu Roslan Kamaruddin yang diibaratkan sebagai 'raja' merakam kenangan bersama guru, kakitangan sokongan dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong, Pahang sempena majlis persaraan beliau bertemakan Zaman Kesultanan Melayu Melaka, pada 26 Mei 2023.


“Cikgu Roslan ini sering memberikan pendapat dan pandangan yang membina ketika mesyuarat mengenai akademik mahupun kokurikulum apabila dianggap sebagai mentor dan idola kepada guru di SMK Sulaiman terutama guru baharu bagi menimba ilmu. 

“Walaupun sebagai guru yang cukup senior dan akan menamatkan perkhidmatan tetapi Cikgu Roslan tetap menyerlahkan jiwa seorang pendidik, di samping sentiasa kekal bersemangat dan bersungguh-sungguh terutama ketika mengajar dalam bilik darjah,” ujar beliau.

Katanya, walaupun hanya lebih kurang dua tahun Cikgu Roslan mengajar di SMK Sulaiman, beliau telah menunjukkan komitmen cukup bagus sebagai guru subjek Matematik yang mengajar di tingkatan empat dan lima.

Cikgu Roslan bukan hanya setakat bagus dalam bidang akademik, malah sentiasa bersama dengan warga SMK Sulaiman dalam menjayakan program sekolah. Hubungan beliau dengan pihak pentadbir serta guru juga sangat baik kerana sentiasa tampil sebagai individu yang mudah mesra.


Rohani Abu Bakar menyampaikan cenderamata kepada Cikgu Roslan.


Pada majlis berkenaan Cikgu Roslan yang lengkap berpakaian busana tradisional Melayu diarak ke atas pentas utama SMK Sulaiman sebelum dipersila duduk di atas singgahsana ibarat seorang ’raja’ yang menghadap ‘rakyat jelata’ iaitu dalam kalangan guru, kakitangan sokongan serta pelajar sekolah berkenaan dengan disusuli ‘titah ucapan’ perpisahan.

Rohani berkata, selain itu Cikgu Roslan yang mengamalkan pendekatan mesra menjadikan dia seorang guru yang cukup disenangi dan diminati pelajar tanpa mengira bangsa dalam usaha beliau memastikan pelajar mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran terutama apabila menduduki peperiksaan penting. 

Menurutnya, pada tahun lalu (2022), dia sering mengadakan kelas tambahan dan seminar menjawab soalan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan guru dalam panitia Matematik berasa mengagumkan di samping sifat beliau tidak berkira dalam melakukan tugas serta mudah memberi kerjasama.

“Ramai guru menyifatkan persaraan Cikgu Roslan ini suatu kehilangan besar kepada SMK Sulaiman amnya dan Panitia Matematik khasnya kerana seorang guru yang hebat dan boleh dijadikan contoh kepada guru lain yang masih baharu dalam perkhidmatan.

“Sebagai pengetua, saya sejujurnya sangat berpuas hati dengan kerja serta tanggungjawab dilaksanakan Cikgu Roslan sepanjang berkhidmat di SMK Sulaiman kerana dia sentiasa cemerlang dalam melunaskan tugas sebagai guru subjek Matematik yang mengajar dalam bilik darjah,” katanya. 


Kakitangan SMK Sulaiman yang lengkap mengayakan busana tradisional Melayu merakamkan kenangan bersama Cikgu Roslan.


Sementara itu, Cikgu Roslan melahirkan rasa amat terharu dengan usaha rakan guru dan kakitangan sokongan SMK Sulaiman memenuhi impiannya yang diraikan dalam majlis persaraan ibarat seorang ‘raja’ pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Menurutnya, dia tidak dapat menahan air mata menitis apabila melihat kesungguhan rakan guru dan kakitangan sokongan sekolah itu berusaha memenuhi impian beliau yang menjadi sejarah tersendiri umpama sebagai wira dalam memperjuangkan bidang pendidikan.

Tambah beliau, sepanjang menjadi guru dan bertugas di banyak sekolah dia sentiasa menitikberatkan hubungan baik serta erat dengan pelajar malah dijadikan diri mudah didekati serta tidak bertangguh untuk menjawab soalan yang dikemukakan pelajar.


Sebahagian guru perempuan SMK Sulaiman memeriahkan majlis persaraan Cikgu Roslan dengan mengenakan pakaian busana tradisional Melayu.


Jelasnya, tidak kira kedudukan seseorang pelajar itu, dia sering memberi galakan dan motivasi serta ganjaran termasuk dalam bentuk wang tunai apabila pelajar berjaya mendapat keputusan terbaik dalam ujian atau peperiksaan yang diduduki terutama mencatatkan markah tinggi dalam subjek Matematik.

“Sebagai cikgu paling senior saya tidak berkira malah bersikap terbuka bagi berkongsi ilmu dengan guru termasuklah mereka yang baharu dilantik menjadi pendidik dalam apa jua program sebagai usaha memacukan  kecemerlangan pendidikan sekolah.

“Walaupun hanya lebih dua tahun mengajar di SMK Sulaiman namun tetap mengukir sejarah dan kenangan tersendiri terutama apabila dapat mengakhiri tugas sebagai guru di bawah pentadbiran seorang pengetua yang sering memberi motivasi kepada guru serta boleh berkongsi pandangan atau pendapat khusus untuk kemajuan sekolah,” ujarnya. 


Guru dan kakitangan SMK Sulaiman merakam kenangan selepas berjaya memenuhi impian majlis persaraan Cikgu Roslan yang bertemakan Zaman Kesultanan Melayu Melaka.


Cikgu Roslan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Pendidikan (kepujian) dari Universiti Malaya mula bertugas sebagai guru selepas tamat belajar pada tahun 1987 di SMK Mahmud Raub, Pahang sehingga 1990.

Kemudiannya bertukar ke SMK Bentong (1990–1998) dengan memangku jawatan Guru Penolong Kanan 1 (GPK 1), GPK Kokurikulum serta memegang jawatan pengetua, Beliau selepas itu berpindah ke SMK Ketari, Bentong (1998–2001) dan memikul tanggungjawab sebagai GPK Hal Ehwal Murid (HEM) dan GPK 1. 

Kemudian Cikgu Roslan beralih ke SMK Seri Bentong (2001-2003) sebagai guru cemerlang Matematik dan berterusan ke SM Sains Tengku Abdullah Raub (2004–2007), SMK Seri Bentong (2007–2017), SMK Felda Lurah Bilut, Bentong (2017–2021) dan sebelum bersara pada 2 Mei 2023 di SMK Sulaiman bermula 2021 hingga 2023.

Di samping itu Cikgu Roslan aktif sebagai penceramah jemputan untuk bengkel atau seminar SPM bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan dengan pelbagai agensi kerajaan serta swasta di seluruh negara termasuk ke Sabah dan Sarawak. 

Selain itu beliau juga merupakan penulis buku subjek Matematik yang disegani apabila terbabit dengan pelbagai agensi termasuklah menulis untuk buku teks bagi sekolah menengah rendah, menyumbang dalam Pembinaan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) subjek Matematik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia juga terbabit secara langsung dalam pelbagai program pendidikan peringkat Negeri Pahang. - KitaReporters


Cikgu Roslan buat kali terakhir mencetak Kad Perakam Waktu sebelum bersara sebagai seorang guru sambil diperhatikan oleh Rohani (dua dari kiri).


Sebahagian pelajar SMK Sulaiman bergambar buat kali terakhir dengan Cikgu Roslan yang disanjung sebagai 'raja' pada majlis persaraannya.

32
11
0
14
0
You will be interested