Insan & Komuniti 31 May, 2023

Umi Kalsom guru dedikasi! Bersikap ringan tulang bantu rakan setugas! Memacu kecemerlangan sekolah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


IBARAT mempunyai dua keluarga yang besar menjadi visi kepada Umi Kalsom Buang untuk gigih berkhidmat dan mencurah bakti selama 33 tahun sebagai guru sebelum membuat keputusan memilih untuk bersara dalam usia 55 tahun.

Walaupun masih sayang kepada tugas sebagai seorang guru tetapi pilihan itu terpaksa dibuat dalam keadaan kesihatan yang masih baik untuk memberi tumpuan kepada tugas hakiki sebagai seorang ibu serta suri rumah tangga.

Beliau berkata, berpegang kepada visi itu menjadikan dia seorang yang sentiasa berusaha memperbaiki kemampuan diri untuk mendidik anak di rumah sebagai seorang ibu dan memikul amanah menguruskan rumah tangga sebagai isteri. 

Menurutnya, apabila tiba ke sekolah setiap hari dia terpaksa pula memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk mendidik anak bangsa supaya berjaya dalam pelajaran yang didokong penuh dedikasi umpama membela keluarga besar kedua. 


Umi Kalsom Buang (kiri) menerima APC daripada Suhaili Abd Rasap.


Tambah Umi Kalsom, walaupun kadang-kadang berasa tertekan dengan situasi itu namun dia tetap gigih serta bersabar menangani masalah yang timbul di samping mendapat sokongan serta kata-kata semangat daripada suami kerana memahami tugas dia seorang guru.

“Rakan-rakan setugas, pihak pengurusan serta kakitangan sokongan juga menjadi inspirasi kepada saya untuk menyayangi tugas sebagai guru kerana kami sentiasa mewujudkan hubungan erat serta saling membantu.

“Namun begitu walaupun sudah bersara daripada seorang guru saya tetap bersedia membantu mereka yang memerlukan bimbangan atau tunjuk ajar untuk menjadi seorang guru yang berjaya atau murid cemerlang dalam pelajaran,” katanya pada Majlis Persaraan Umi Kalsom Buang “Menjunjung Budi Menyanjung Bakti” di adakan di Dewan Seri Puteri Sekolah Kebangsaan Perempuan Durian Daun (SKPDD), Melaka, pada 26 Mei 2023.

Turut hadir pada majlis itu, wakil Pejabat Pendidikan Daerah, Faizah Yusof; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKPDD, Datuk Amzah Osman; Guru Besar SKPDD, Suhaili Abd Rasap; Mantan Guru Besar SKPDD, Sahiramah Merais, guru-guru dan murid SKPDD.


Cikgu Umi Kalsom ditemani suaminya, Azadi Mohd Diah meninggalkan pekarangan SK Perempuan Durian Daun, Melaka selepas majlis persaraan beliau dengan diiringi jeritan 'Cikgu Umi' dan linangan air mata murid sekolah itu pada 26 Mei 2023.


Umi Kalsom, ibu kepada lima anak berkata, sebaik mula mengajar di SKPDD pada 2017 seperti juga ketika bertugas di sekolah lain sebelum itu, dia bersikap rendah diri serta terbuka terutama untuk sentiasa berkongsi ilmu sebagai seorang guru walapun cadangan atau pendapat itu datang daripada guru baharu dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, dia tidak berasa berkecil hati malah seronok berkongsi ilmu mengajar dengan mereka termasuk guru besar yang sentiasa memberi bimbingan dan kadang-kadang tercetus perbezaan pendapat namun perkara itu dianggap perkara biasa dalam memikul tugas seorang guru.

Jelasnya, berkongsi ilmu dan memupuk hubungan erat antara guru dalam memacu kecemerlangan sekolah adalah suatu yang amat bermanfaat kerana setiap perkara dilakukan akan memberi kejayaan kepada murid kerana ia menjadi impian setiap ibu bapa pula.


Murid-murid SKPDD membuat persembahan sempena majlis persaraan Cikgu Umi Kalsom.


Tambah beliau, dia datang daripada keluarga besar iaitu memiliki 10 adik-beradik dan memilih kerjaya sebagai guru apabila mendapat suntikan dan dorongan daripada lima kakaknya yang terlebih dahulu menjadi pendidik.

“Ada antara anak didik saya sudah berjaya menjadi doktor dan guru termasuk Ustaz Izat Anwar Apandi yang turut hadir dalam majlis ini bagi meraikan persaraan saya,” ujarnya yang memulakan kerjaya sebagai guru di SK Sungai Udang, Melaka sebaik keluar dari Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada 1989. 

Selepas mengajar di SK Sungai Udang, Umi Kalsom meneruskan kerjaya sebagai guru dengan mengajar di SK Kubu pada 1991, SK Methodist Boy Kuala Lumpur (1993), SK Datuk Haji Baginda (!996) dan SK Air Molek (2014) dan dilantik sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) Korikulum.

Sepanjang bersama SKPDD bermula 2017 itu, dia mengajar subjek Matematik dan Bahasa Melayu di samping dilantik sebagai GPK Hal Ehwal Murid, GPK Penolong Kanan (1) Pentadbiran dan akan bersara wajib pada 1 Jun 2023 ini. 


Tetamu jemputan khas turut hadir bagi memeriahkan majlis persaraan Cikgu Umi Kalsom.


Sementara itu, Suhaili menyifatkan Umi Kalsom sebagai seorang guru yang sentiasa dedikasi melaksanakan tugas sebagai guru malah bersikap ringan tulang membantu rakan-rakan setugas dalam menjadi guru cemerlang serta meningkatkan mutu pengajaran.

Jelasnya, Umi Kalsom tidak kedekut ilmu dan bersedia menerima teguran daripada sesiapa sahaja termasuk guru baharu dalam menyelesaikan sesuatu masalah terutama menangani kelemahan murid kerana beliau tidak mahu melihat anak didik di bawahnya gagal dalam pelajaran.

“Kerana sikap demikian ini dia disukai rakan setugas termasuk kakitangan sokongan apabila sering menyapa mereka ketika berada di sekolah atau berjumpa di luar kawasan sekolah ketika bersama keluarga.

“Justeru tidak hairanlah apabila Umi Kalsom menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2004, 2019 dan 2022,” ujarnya. - KitaReporters


23
14
0
14
0
You will be interested