Seni & Sukan 29 Oct, 2022

Beri mandat! Bajet Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dibentang sekali lagi, dibahas, diluluskan! - PM

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji sekiranya kerajaan yang diterajuinya, diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Bajet 2023 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” akan dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan.

"Pada 7 Oktober 2022 yang lalu, Kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara kerana memperuntuk sebanyak RM372.3 bilion untuk memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia

"Bajet ini bukan sekadar manifesto kerana mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakannya, yang mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir, sama ada di ceruk desa atau di bandar, B40, M40, pelajar, OKU, wanita, usahawan dan sebagainya, semua mendapat manfaat.

"Insya-Allah, segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan sekiranya Kerajaan yang saya terajui, diberi mandat pada PRU-15, supaya bajet ini dapat dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan," tegasnya pada pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Pahang pada Sabtu, 29 Oktober 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia


Katanya, bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, Kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

Daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan LPG sebanyak RM41.7 bilion; subsidi minyak masak paket 1 kg dan minyak botol sebanyak RM3.0 bilion; subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion; bantuan-bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian sebanyak RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion, katanya lagi.

"Bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir, sama ada di ceruk desa atau di bandar, B40, M40, pelajar, OKU, wanita, usahawan dan sebagainya, semua mendapat manfaat, sebanyak RM1 bilion diperuntuk bagi menyahut Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

"Kerajaan turut menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka. 

"Di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500.

"Golongan belia juga bakal menerima kredit e-dompet menerusi inisiatif e-Pemula sebanyak RM200 bagi 2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa berumur 21 tahun ke atas. 

"Bagi golongan wanita, sejumlah RM235 juta disediakan sebagai dana pembiayaan tersedia khas di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA, dan Biz Lady Bank Rakyat agar lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan. 

"Sementara itu, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan di bawah RM2,500 yang memiliki lima anak atau lebih, akan menerima bantuan sebanyak RM2,500. Ini juga merupakan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara," jelas Perdana Menteri. - KitaReporters



Teks ucapan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia pada Sabtu, 29 Oktober 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang :

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya ucapkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul hari ini bagi menjayakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC). 

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang terutamanya Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar dan seluruh warga Kerajaan Negeri selaku tuan rumah. 

3. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai kementerian peneraju khususnya kepada Menteri, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien serta seluruh Keluarga MINDEF atas penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia siri ke-12 di Pahang ini. 

4. Untuk makluman JAKM di Pahang ini yang merupakan destinasi terakhir sebelum PRU-15 yang akan berlangsung pada 19 November ini.  

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

5. Kerajaan sentiasa memastikan Keluarga Malaysia di negeri ini sentiasa hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang berpaksikan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. 

6. Konsep tersebut yang mula diperkenalkan sewaktu saya mula menggalas amanah sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021, sudah semakin sebati dengan seluruh rakyat pada hari ini, khususnya di negeri Pahang. 

7. Konsep ini melambangkan keteguhan negara yang berlatarkan pelbagai agama dan bangsa serta bersifat inklusif, dilengkapi nilai institusi kekeluargaan yang sentiasa berperanan membela nasib dan memastikan tiada sesiapa yang terpinggir. 

8. Saya amat gembira melihat Keluarga Malaysia di negeri ini yang mampu hidup secara harmoni dan saling membantu antara satu sama lain seperti sebuah keluarga, ibarat “lemah menapis, condong menopang.” 

9. Saya yakin dengan menjunjung semangat Keluarga Malaysia, kita bukan sahaja dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi, malah dapat mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. 

10. Amalan ini juga selari dengan nilai tasamuh atau toleransi yang menjadi acuan dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat majmuk seperti yang saya ingin terapkan dalam diri seluruh Keluarga Malaysia. 

11. Nilai tasamuh yang dituntut dalam Islam ini, bukan sahaja membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati tetapi juga dapat mengelakkan daripada sebarang perbalahan yang sia-sia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

12. Negara mengharungi tempoh sukar sejak kebelakangan ini. Bermula dengan pandemik COVID-19, dan kini berhadapan pula dengan krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan. 

13. Namun, berkat kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan tadbir urus Kerajaan membolehkan kita keluar daripada kemelut ini dan terus fokus kepada pemulihan ekonomi negara. 

14. Hari ini, prestasi ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun 2022. 

15. Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran pada bulan Ogos 2022 iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus.

16. Alhamdulillah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia.   

17. Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion ke negeri ini yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu dalam kalangan Keluarga Malaysia Pahang tahun ini. 

18. Kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan September 2022 berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022. Kadar ini lebih rendah berbanding negara serantau dan negara lain iaitu:  

i. Zon Euro: 10.0 peratus 

ii. Amerika Syarikat: 8.2 peratus 

iii. Thailand: 6.4 peratus 

iv. Filipina: 6.9 peratus 

v. Republik Korea: 5.6 peratus 

18. Bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, Kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

19. Daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan LPG sebanyak RM41.7 bilion; subsidi minyak masak paket 1 kg dan minyak botol sebanyak RM3.0 bilion; subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion; bantuan-bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian sebanyak RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

20. Pada 7 Oktober yang lalu, Kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara kerana memperuntukkan sebanyak RM372.3 bilion untuk memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. 

21. Bajet ini bukan sekadar manifesto kerana mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakannya, yang mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir, sama ada di ceruk desa atau di bandar, B40, M40, pelajar, OKU, wanita, usahawan dan sebagainya, semua mendapat manfaat.

22. Dalam mencapai aspirasi ini, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi menyahut Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM). 

23. Fasa pertama di Pahang melibatkan lapan lokaliti akan memanfaatkan 178 Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu: 

i. Kampung Bohor Baru dan Perkampungan Orang Asli (KOA) Kuin/ Lengut, daerah Bera; 

ii. Kampung Kechau Tui, daerah Lipis; 

iii.Kampung Lada, daerah Jerantut; 

iv.Kampung Bolok, daerah Temerloh; 

v. Kampung Pasir Panjang, daerah Pekan; 

vi.KOA Chenan Cerah, daerah Cameron Highlands; vii. KOA Langkap Lama, daerah Rompin; dan 

viii.KOA Tungau, Pos Lenjang, daerah Lipis. 

24. Kerajaan turut menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka. 

25. Di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500.

26. Golongan belia juga bakal menerima kredit e-dompet menerusi inisiatif e-Pemula sebanyak RM200 bagi 2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa berumur 21 tahun ke atas. 

27. Bagi golongan wanita, sejumlah RM235 juta disediakan sebagai dana pembiayaan tersedia khas di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA MARA, dan Biz Lady Bank Rakyat agar lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan. 

28. Sementara itu, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan di bawah RM2,500 yang memiliki lima anak atau lebih, akan menerima bantuan sebanyak RM2,500. Ini juga merupakan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara. 

29. Insya-Allah, segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan sekiranya Kerajaan yang saya terajui, diberi mandat pada PRU-15, supaya bajet ini dapat dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan.


Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

30. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang, sekali gus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. 

31. Sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang. 

32. Kerajaan juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos projek sebanyak RM8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026. 

33. Dalam sektor pendidikan di Pahang, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK 12 Tahun 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan 9 projek berstatus prabina.

34. Dalam bidang kesihatan, sebanyak dua buah Klinik Kesihatan juga sedang dibina dengan Kuarters Bandar Raub dan Kuala Triang, Bera dengan peruntukan sebanyak RM40 juta yang dijangka siap tahun hadapan. 

35. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula telah memperuntukkan sebanyak RM3.32 bilion bagi 101 buah projek pembangunan di Pahang dengan pecahan 39 projek baharu dan 62 projek sambungan untuk keselesaan Keluarga Malaysia. 

36. Di bawah KPLB, sebanyak 60 unit rumah dibina dan 2,250 unit dibaik pulih (keseluruhan sebanyak 2,310 unit) di bawah Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia, melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 ahli isi rumah luar bandar. 

37. Bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Pahang, sebanyak 12,444 unit rumah di bawah Program Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah siap dibina, sebanyak 2,171 unit dalam pembinaan dan 3,905 unit lagi dalam perancangan, menjadikan keseluruhan sebanyak 18, 520 unit.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

38. Bagi menghadapi monsun timur laut, sebanyak RM1.8 billion disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera. 

39. Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran. 

40. Sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

41. Akhir kata, saya akhiri ucapan dengan bidalan “kerana sabut tebal, tempurungnya pun menjadi kebal”. Keluarga yang sentiasa diikat dengan kasih sayang, akan andal menghadapi apa juga cabaran. 

42. Sesungguhnya, tiada yang lebih penting selain selain menjaga keluarga. 

43. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz  Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Pahang. 


13
13
0
11
0
You will be interested