Seni & Sukan 26 Jan, 2023

Terbaiklah Arif Aiman! Pecah monopoli bintang import! Pemain Malaysia termahal! Bernilai RM1.86 juta!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

ARIF Aiman kini bernilai RM1.86 juta. - Kredit foto: MFL


BINTANG muda kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya memecah monopoli pemain import apabila menjadi pemain 'produk' tempatan tunggal berada dalam senarai pemain termahal Liga Malaysia (Liga M).

Bersaing dengan bintang-bintang import yang didominasi oleh pemain-pemain JDT, Arif Aiman berjaya menyelitkan diri pada kedudukan ke-8 pada nilai pasaran RM1.86 juta, sekali gus meletakkan dirinya sebagai pemain Malaysia termahal.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemain bola sepak


Ia bertepatan dengan statusnya sebagai pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) selepas mempamirkan prestasi terbaik sepanjang musim 2022, bersama JDT dan skuad kebangsaan.

Pada malam anugerah itu, Arif Aiman bukan sahaja mempertahankan MVP yang dimenangi pertama kali pada 2021 malah turut dinobatkan sekali lagi sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Selain membantu skuad Harimau Selatan menyapu bersih empat trofi domestik musim lalu dengan menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, pemain berusia 20 tahun turut memainkan peranan besar dalam kejayaan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun.


BINTANG import JDT, Jordi Amat muncul sebagai pemain termahal Liga M dengan nilai pasaran RM4.67 juta.


Pengiktirafan Arif Aiman sebagai pemain termahal Malaysia adalah menerusi dapatan daripada laman sesawang terkenal, transfermarkt.com. yang menyaksikan gelaran pemain termahal Liga M kekal menjadi milik pertahanan JDT, Jordi Amat pada nilai RM4.67 juta.

Nilai harga yang diletakkan ke atas Jordi bukanlah sesuatu yang memeranjatkan memandangkan pemain pertahanan tengah skuad kebangsaan Indonesia itu memiliki pengalaman beraksi pada liga Eropah bersama kelab seperti Espanyol, Rayo Valleecano, Real Betis dan Swansea.


Fernando Forestieri


Malah, bintang-bintang import JDT turut menguasai kedudukan lima terbaik dengan penyerang dari Argentina, Fernando Forestieri menjadi pemain kedua termahal pada nilai RM3.97 juta.

Berada pada kedudukan ketiga dan keempat adalah dua pemain import baharu mereka, iaitu Oscar Arribas dan Juan Muniz masing masing bernilai RM2.33 juta.

Sementara itu,  pemenang anugerah Pemain Import Terbaik ABK 2022 dan penjaring terbanyak Liga Super Liga Super 2022, Bergson da Silva berada di tangga kelima dengan nilai sama. 


PENYERANG import baharu Kedah, Willian Lira, turut tersenarai sebagai salah seorang pemain termahal Liga M dengan nilai RM2.1 juta. Kredit foto: Sang Kenari.


Penyerang baharu Kedah Darul Aman (KDA FC), Willian Lira dari Brazil pasti mendapat suntikan semangat untuk mengharungi musim 2023 bersama Helang Merah apabila turut berada dalam senarai 10 pemain termahal Liga M apabila bernilai RM2.1 juta, meningkat sebanyak RM466,000 daripada nilai pasaran sebelum ini.

Dua lagi pemain import baharu Liga M, Sirozhiddin Kuziev (Kuching FC) dan Ebenezer Assifuah (KDA FC) berkongsi nilai sama dengan Arif Aiman iaitu RM1.86 juta.

Melengkapkan senarai adalah dua lagi pemain JDT, La'Vere Corbin Ong dan Matt Davies (RM1.74 juta) dan nilai itu turut dikongsi bersama pemain import baharu Selangor FC, Noor Al Rawabdeh. - KitaReporters


10 PEMAIN TERMAHAL LIGA M:

Jordi Amat (JDT) RM4.67 juta

Fernando Forestieri (JDT) RM3.97 juta

Oscar Arribas (JDT) RM2.33 juta

Juan Muniz (JDT) RM2.33 juta

Bergson da Silva (JDT) RM2.33 juta

Willian Lira KDA (KDA FC) RM2.1 juta

Sirozhiddin Kuziev (Kuching City) RM1.86 juta

Arif Aiman Hanapi (JDT) RM1.86 juta

Ebenezer Assifuah (KDA FC) RM1.86 juta

La'Vere Corbin Ong (JDT) RM1.74 juta


Ebenezer Assifuah 

 

13
10
0
11
0
You will be interested